TEL AVIV - Ketua Turus Am baharu Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikatakan mahu mengemukakan rancangan jahat untuk melancarkan semula perang genosid ke atas Genting Gaza, di tengah-tengah perjanjian gencatan senjata rapuh.
Pelan itu didedahkan Haaretz pada Khamis lalu yang mendakwa pelan tersebut bakal dibentangkan Leftenan Jeneral Eyal Zamir dalam masa terdekat.
"Kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuntut Zamir membentangkan pelan mengambil alih Gaza," jelas laporan itu lagi.
Sumber rapat pelan itu bagaimanapun ragu-ragu dengan keupayaan IDF untuk mengerahkan askar simpanan bagi melaksanakan operasi ketenteraan baharu bagi menguasai semula kawasan berbeza di seluruh Gaza termasuk yang ditinggalkan Zionis ketika fasa pertama perjanjian damai pada Januari lalu.
Sebahagian besar anggota pasukan tentera simpanan telah menyatakan dengan jelas tentang hasrat mereka untuk menamatkan perkhidmatan dan tidak lagi terlibat operasi tempur di enklaf berkenaan.
Mereka berpendapat kembali berperang hanyalah berdasarkan pertimbangan politik sedangkan ia bakal membahayakan nyawa baki tawanan di Gaza.
Menerusi ucapan pertama sejurus pelantikannya sebagai Komander IDF ke-24 pada awal Mac lalu, Zamir, 59, dengan angkuh berkata, '2025 akan terus menjadi tahun pertempuran' meskipun rejim Tel Aviv telah bersetuju dengan pelaksanaan tempoh bertenang di Gaza dan Lubnan.
Dia dipilih Menteri Pertahanan, Israel Katz bersama Netanyahu untuk menggantikan Leftnenan Jeneral Herzi Halevi yang meletak jawatan pada Januari lalu, tidak lama selepas perjanjian gencatan senjata dipersetujui Israel dan Hamas.
Zamir kini mempunyai kuasa untuk mengarahkan apa jua operasi ketenteraan Zionis termasuk pengerahan askar ke Gaza, Syria dan Lubnan.
'Orang kuat' Netanyahu
Sebelum ini, dia pernah dicalonkan untuk memegang peranan itu sebanyak dua kali, namun jawatan itu disandang Halevi dan pendahulunya, Aviv Kohavi.
Pertama kali menyertai tentera pada 1984, Zamir yang berketurunan Syria-Yemen dinaikkan pangkat daripada pegawai kereta kebal kepada Komander Briged Berperisai Ketujuh pada 2003 dan Divisyen Berperisai ke-36 pada 2009.
Pada 2007, Zamir menerusi hasil tulisannya mempertahankan 'hukuman kolektif' ke atas 'populasi pengganas' meskipun ia adalah amalan yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Pada 2012-2015, dia memegang jawatan Setiausaha Tentera Netanyahu dan menjadi Ketua Perintah selatan Israel selama tiga tahun.
Pasukan tentera di bawah pimpinan Zamir pernah terlibat konfrontasi ganas dengan kumpulan penunjuk perasaan Palestin yang terlibat Perarakan Pulang Besar-besaran yang turut meragut nyawa lebih 150 peserta protes manakala kira-kira 10,000 termasuk 1,849 kanak-kanak cedera.
Pada November 2018, beberapa bulan selepas insiden berdarah itu, dia dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Turus.
Ketika fasa awal demonstrasi yang telah mengorbankan 16 penduduk Palestin dalam tempoh sehari pada Mei tahun sama, Zamir bertindak mempertahankan tindakan zalim pasukan tenteranya atas alasan kononnya terdapat ancaman serangan ganas.
Kira-kira tiga tahun selepas itu, Zamir terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu felo penyelidik di Institut Washington untuk Badan Pemikir Dasar Timur Dekat dan kembali semula ke Israel pada 2023 serta dilantik sebagai Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan.
Sepanjang tempoh 15 bulan perang genosid ke atas Gaza, dia memegang peranan penting menyelaraskan rantaian bekalan udara dan tentera laut yang terdiri daripada ratusan pesawat dan kapal selain mempersenjatai tentera Israel dengan senjata dari seluruh dunia.
Dia juga sering menyuarakan pendapat lantang tentang keperluan untuk berkonfrontasi dengan Iran dan musuh Israel yang lain.
Pelantikan Zamir mendapat sokongan meluas anggota haluan kanan Kabinet Netanyahu.
Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dengan yakin memberitahu anggota blok 'ekstremis' kononnya Israel bersedia untuk menduduki Gaza di bawah kepimpinan Zamir dengan operasi yang diselaraskan bersama Presiden Donald Trump.
"Saya kagum dengan komitmennya kepada negara dan pasukan tentera. Kita akan mencapai kemenangan lebih besar yang tidak hanya akan mengubah situasi di Israel malah juga seluruh Asia Barat," kata Netanyahu seakan-akan memberi bayangan 'malapetaka lebih dahsyat' yang mungkin akan dibawa Zamir dalam masa terdekat. - Agensi