FLORIDA, AMERIKA SYARIKAT - Seorang remaja dari Florida yang dilaporkan hilang selama dua minggu ditemui mati dalam keadaan anggota badannya dikerat dan dibuang ke dalam tong sampah.
Menurut pihak polis, kejadian bermula apabila remaja perempuan berusia 16 tahun itu diperdaya oleh seorang lelaki yang lebih tua dan dikenali melalui media sosial.
Mangsa, yang dikenali sebagai Miranda Corsette, dilaporkan hilang pada 24 Februari.
Berdasarkan siasatan polis, mangsa diperdaya untuk bertemu dengan Steven Gress, 35, pada Hari Valentine setelah berkenalan melalui sebuah aplikasi media sosial.
"Corsette pergi ke rumah Gress pada keesokan harinya dan tidak pernah dilihat lagi selepas itu,” kata seorang pegawai polis pada Sabtu.
Gress dan pasangannya, Michelle Brandes, 37, dipercayai memukul Corsette kerana mereka mengesyaki mangsa mencuri cincin milik mereka.
Hal ini dinyatakan dalam afidavit polis yang dikeluarkan pada Sabtu dan dilaporkan oleh Tampa Bay Times.
Menurut afidavit tersebut, mereka"menahan mangsa secara paksa selama lebih tujuh hari dan menyiksanya dengan memukulnya berulang kali.”
Mulut mangsa juga disumbat dengan sebiji bola biliard sebelum wajahnya dibalut dengan plastik, menyebabkan dia lemas.
Pihak polis percaya Corsette dibunuh antara 20 Februari dan 24 Februari.
Mayatnya kemudian dimasukkan ke dalam kereta, dibawa ke sebuah rumah lain, dan dikerat-kerat sebelum dibuang ke dalam tong sampah.
Pasangan itu kini berhadapan dengan tuduhan pembunuhan darjah pertama, menurut laporan Tampa Bay Times.