SIDANG Parlimen pada 25 Februari 2025 telah memperlihatkan wujudnya krisis kepimpinan yang meruncing di universiti awam (UA).
Isu peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlaku baru-baru ini bukan sekadar isu individu, tetapi mencerminkan masalah yang telah lama berakar umbi dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Lebih mengejutkan, apabila ia telah memaksa pihak Istana untuk masuk campur bagi memastikan akauntabiliti dalam sebuah institusi yang sepatutnya menjadi mercu kecemerlangan akademik, dapat terus dipertahankan, ketika mana segala usaha yang diambil oleh warga institusi untuk melaporkan isu yang berlaku, gagal membuahkan sebarang tindakan.
Kontroversi yang berlaku di UKM hanyalah salah satu dari petanda kepada masalah atau krisis yang lebih besar di mana kepimpinan universiti di Malaysia kelihatannya tidak lagi ditentukan berdasarkan merit, integriti, atau kecemerlangan akademik.
Sebaliknya, ia banyak dipengaruhi oleh percaturan politik dan kepentingan tertentu. Begitu juga jawatan utama universiti yang lain – Timbalan Naib Canselor, serta ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sering kali dilantik bukan kerana kelayakan mereka, tetapi kerana hubungan mereka dengan pihak tertentu, walaupun pihak jawatankuasa pemilihan meletakkan pilihan pertama kepada calon lain hasil dari temuduga dan proses yang berkaitan.
Diperhatikan juga ada yang terpilih berdasarkan proses, tetapi proses yang dikendurkan untuk membolehkan calon tersebut menjadi calon nombor satu dalam senarai.
Keadaan ini membangkitkan persoalan tentang peranan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), yang sepatutnya memastikan universiti dipimpin oleh individu yang berkelayakan melalui proses dan penilaian yang disediakan.
Persoalan selanjutnya adalah adakah AKEPT sekadar pelengkap atau penyelamat kepada sistem pemilihan yang sudah rosak? Atau lebih parah kalau ia hanya menjadi pengesah atau penyadur kepada pilihan yang tidak tepat?
Suatu yang tidak mustahil untuk berlaku seperti mana kebimbangan yang dinyatakan dalam Titah Diraja baru-baru ini di Parlimen iaitu isu kelemahan tadbir urus dalam institusi negara di mana pendidikan tinggi tidak terkecuali daripada masalah ini.
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah lama menjadi penghalang kepada kebebasan akademik. Salah satu bahagian dalam AUKU menyatakan bahawa pelantikan Naib Canselor di universiti awam dilakukan oleh Menteri.
Namun, diperhatikan kerap berlaku pemilihan tanpa mengambil kira merit calon di mana dalam kata lain boleh ditafsirkan sebagai mencabar kredibiliti jawatankuasa pemilihan.
Ini mengakibatkan UA terus dipimpin oleh pentadbir yang tidak efisien dan berintegriti serta mudah dipengaruhi oleh campur tangan politik, walaupun ia sering dinafikan sedemikian oleh pihak berkenaan.
Jika sistem yang sedia ada ingin diperbaiki maka autonomi universiti perlu dipulihkan, dan autonomi ini bukan sekadar simbolik, tetapi sebagai langkah konkrit untuk memastikan pendidikan tinggi yang lebih berkualiti.
Proses pemilihan kepimpinan di UA jelas mempunyai masalah berdasarkan kepada isu kepimpinan yang berlaku bukan sahaja di UKM tetapi di UA yang lain.
Di mata umum, kepimpinan universiti kelihatan diisi oleh individu yang tidak mempunyai visi yang jelas, kepakaran dalam pentadbiran, dan integriti yang tinggi.
Akibatnya, institusi pendidikan tinggi berdepan dengan isu rasuah, kelemahan tadbir urus, dan parahnya membawa kepada hilangnya kredibiliti akademik di peringkat negara dan antarabangsa. Semakin ramai ahli masyarakat hilang kepercayaan terhadap institusi pusat ilmu yang merupakan tempat terkumpulnya ribuan Profesor.
Kontroversi yang berlaku di UKM juga telah mendedahkan bagaimana proses perolehan dimanipulasi, pemberi maklumat (whistleblower) diketepikan, dan sistem tadbir urus universiti dipinggirkan. Jika sebuah universiti penyelidikan utama negara boleh terjebak dalam keadaan sebegini, bagaimana pula dengan institusi lain?
Jelas bahawa sistem pendidikan tinggi di Malaysia sedang berada di ambang krisis yang lebih besar, seperti retak menanti belah, sekiranya tidak ditangani segera.
Namun, masih ada harapan di penghujung jalan. Satu pengajaran yang boleh diambil daripada kes UKM adalah perubahan mesti dilakukan jika kepimpinan di KPT dan ahli akademik mempunyai keberanian untuk melakukannya kerana mereka akur bahawa ada kepincangan yang sedang berlaku yang perlu ditangani segera.
Proses pelantikan kepimpinan universiti perlu diperbaharui, autonomi akademik perlu dikembalikan, akauntabiliti dan integriti harus diberikan penekanan, serta penilaian bakat berdasarkan kelayakan dan kemampuan sebenar calon perlu dipastikan dan bukannya ditentukan melalui hubungan politik calon.
Dalam memastikan perubahan berlaku, AKEPT yang kini berusia 17 tahun perlu bertanggungjawab dan berfungsi dengan lebih efektif untuk menginstitusikan pengurusan bakat kepimpinan berasaskan kompetensi yang komprehensif berlandaskan tahap integriti yang kukuh bagi memastikan pelantikan pemimpin universiti dilakukan berdasarkan merit, bebas daripada campur tangan politik.
Pelantikan Naib Canselor tidak boleh dilihat sebagai keputusan semata-mata atas budi bicara atau pemilihan oleh Menteri. Sebaliknya, setiap pelantikan harus melalui proses yang lebih telus dan memastikan hasil penglibatan dan pandangan panel akademik dan pakar industri yang bebas, menjadi kayu ukur penentu, tanpa pengecualian untuk mana-mana UA sekalipun.
AUKU juga perlu dipinda agar universiti mempunyai kebebasan untuk mentadbir sendiri tanpa campur tangan politik yang berlebihan. Autonomi bukan satu keistimewaan, tetapi satu akauntabiliti dan keperluan untuk menjamin kecemerlangan akademik.
Selain itu, budaya tidak bertanggungjawab dalam kalangan pemimpin universiti perlu ditangani segera. Mereka yang terlibat dalam rasuah, penyalahgunaan kuasa, atau kecuaian dalam pentadbiran mesti dikenakan tindakan tegas.
Ini termasuk memperkenalkan mekanisme perlindungan pemberi maklumat yang lebih kukuh bagi memastikan ketelusan dalam tadbir urus. AKEPT dan KPT juga perlu memastikan bahawa pelantikan kepimpinan dilakukan tanpa dipengaruhi faktor kaum, jantina, atau ideologi politik.
Hanya individu yang benar-benar berkelayakan harus diberikan tanggungjawab untuk menerajui universiti kita.
*Dr Rozilini Mary Fernandez-Chung ialah Felo Utama, Akademi Pendidikan Tinggi (Higher Education Academy, UK), Profesor Madya, University of Nottingham Malaysia dan Ahli Seumur Hidup PenDaPaT