SEREMBAN -"Saya sebenarnya trauma selepas tengok kejadian itu depan mata, namun saya akan tampil sebagai saksi bagi beri keadilan kepada mangsa"
Demikian kata Edy Noor Reduan, 44, yang bersedia menjadi saksi kemalangan maut membabitkan dua motosikal dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini pada Khamis.
Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Dataran Senawang dan kemalangan berlaku jelas dilihatnya di depan mata.
"Ketika berhenti di simpang empat lampu isyarat itu kereta saya yang paling depan. Jadi saya nampak semuanya dengan jelas.
"Saya nampak macam mana kereta Honda Jazz itu merempuh motosikal yang baru keluar simpang lampu isyarat dan bunyi dentuman itu sangat kuat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Malah kata kakitangan swasta itu, serpihan kesan dentuman tersebut turut terkena pada kenderaannya.
Ujarnya, dia kemudian terus keluar dari kenderaan untuk membantu, namun berubah fikiran selepas melihat keadaan mangsa yang agak mengerikan.
Katanya, sehingga hari ini dia masih terbayang-terbayang kejadian berlaku sehingga sukar untuk tidur.
"Saya niat nak tolong, tapi bila saya tengok keadaan mangsa yang agak mengerikan, saya tak berani dan naik semula kereta tinggalkan lokasi.
"Waktu itu pun dah ramai orang berlari ke situ. Saya biasa tengok kemalangan depan mata, tapi kali ini ia betul-betul beri kesan kepada saya," katanya.
Bagaimanapun katanya, dia terpanggil untuk berkongsi kejadian berlaku di media sosial selepas geram dengan kenyataan kakak pemandu Honda Jazz yang mahu keadilan buat adiknya.
Sehubungan itu katanya, dia akan membuat laporan polis kira-kira jam 10.30 pagi pada Ahad dan bersedia tampil sebagai saksi kejadian berlaku.
Dalam kejadian 8.30 malam Khamis, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu remaja lelaki terbabit bersama seorang penumpang sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi dan gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu merempuh dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Kemalangan terbabit menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun mengalami parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mereka yang meninggal dunia ialah Muhammad Aidil Ramdan, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16.
Sementara itu, pemandu dan penumpang kereta Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami cedera parah menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Difahamkan, pemandu Honda Jazz terbabit masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Susulan kejadian itu, banyak pihak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemandu Honda Jazz berkenaan yang didakwa memandu secara berbahaya hingga membawa kepada kematian.