SHAH ALAM - Keberanian golongan wanita yang bergelar suri rumah menerokai kemajuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) membuka peluang menjana pendapatan lumayan tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
Itu yang dibuktikan oleh salah seorang suri rumah, Siti Nurazlinee Azmi, 40, di sini apabila berjaya memanfaatkan peluang tersebut.
Selepas meletak jawatan sebagai eksekutif pemasaran sebuah syarikat swasta pada tahun 2020, dia meneruskan minat dalam bidang penulisan dan kini menjadi freelancer menulis kandungan laman sesawang serta pengurusan media sosial dari rumah.
Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Siti Nurazlinee berkata, perjalanan kerjayanya dalam bidang digital bermula apabila seorang kenalan menawarkan peluang menguruskan media sosial perniagaan yang terletak di Seremban 2, Negeri Sembilan.
Peluang itu kemudian menjadi batu loncatan kepadanya apabila seorang individu memintanya mengendalikan media sosial sebuah entiti perniagaan runcit.
"Saya mula menguruskan media sosial bagi perniagaan ini berdasarkan persetujuan bersama melibatkan aspek jadual siaran, kandungan, pengiklanan serta bayaran.
"Dari situ saya mula menarik minat pelanggan lain termasuk pemilik akaun media sosial dalam bidang insurans dan beberapa syarikat guaman untuk menulis kandungan laman web mereka.
"Selain itu, saya juga pernah menghasilkan kandungan untuk aplikasi membeli-belah dalam talian bagi perniagaan kraf kanak-kanak,” katanya kepada Sinar Ahad.
Meskipun nampak mudah, Siti Nurazlinee berkata, cabaran utama dalam kerjayanya adalah menghasilkan idea segar serta menyesuaikan kandungan mengikut keperluan setiap pelanggan.
"Setiap klien mempunyai konsep dan pelanggan yang berbeza. Jadi saya perlu memastikan setiap kandungan yang dihasilkan relevan dan menarik.
"Oleh itu, saya mengambil inisiatif menyertai kelas tambahan dalam bidang content creation dan content writing bagi meningkatkan kemahiran,” ujarnya.
Berkat usaha dan kesungguhan jitu, Siti Nurazlinee kini mampu mengendalikan beberapa akaun media sosial secara serentak dan sering berkomunikasi dengan pelanggan bagi memastikan objektif pemasaran mereka tercapai.
"Saya bersyukur kerana urusan keluarga terutama anak-anak dapat diatur dengan baik. Bekerja dari rumah memberikan saya kebebasan mengurus masa dengan lebih efisien tanpa perlu mengorbankan pendapatan,” katanya.
Siti Nurazlinee bagaimanapun mengakui pendapatan sebagai freelancer tidak mempunyai gaji bulanan tetap, malah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO juga perlu diuruskan sendiri.
"Bergantung kepada jumlah media sosial yang saya uruskan, waktu siaran, jenis kandungan serta keperluan tambahan, saya memperoleh bayaran RM900 hingga RM1,600 sebulan bagi setiap pelanggan,” katanya.
Siti Nurazlinee berharap agar lebih ramai suri rumah dapat memanfaatkan kemajuan teknologi bagi menjana pendapatan sampingan tanpa perlu meninggalkan keluarga.
Menurut beliau, kejayaan bukan hanya diukur melalui jawatan tetap, tetapi bagaimana seseorang itu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.