Kes Ismail Sabri: Kita tunggu bawa ke mahkamah, kata Tun M

Iklan
Dr Mahathir (tengah) ketika dalam sidang media Majlis Iftar Bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor di sebuah hotel pada Sabtu.

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akui terkejut dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak boleh menyatakan bahawa penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas dalam siasatan SPRM itu adalah milik Ismail Sabri kerana perkara tersebut perlu ditentukan oleh mahkamah dahulu.

Iklan
Iklan

"(Isu seperti ini) Kita biasanya pergi ke mahkamah dan pihak pendakwa akan membuat tuduhan dan pihak yang dituduh berhak untuk menjelaskan.

"Saya tidak boleh nak kata sekarang ini bahawa ini adalah milik Ismail Sabri ataupun tidak.

Iklan

"Kita tunggulah bawa ke mahkamah. Kita dengar apa sebenarnya yang berlaku," katanya ketika dalam sidang media Majlis Iftar bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor di sebuah hotel pada Sabtu.

Siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri berkaitan dengan perbelanjaan serta perolehan dana bagi kempen promosi Keluarga Malaysia sewaktu pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.

Iklan

Setakat ini, SPRM telah merekodkan keterangan daripada 31 individu serta membekukan 13 akaun bank yang dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Turut dilaporkan, serbuan SPRM ke atas sebuah premis yang dikaitkan dengan beberapa pegawai bekas Perdana Menteri itu telah menemui kira-kira RM170 juta wang tunai serta 16 kilogram jongkong emas.

Dr Mahathir turut mengulas kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan rampasan pelbagai barangan bernilai termasuk barang kemas yang dirampas oleh pihak polis.

"Masa mula Najib kalah. Bukan main lagi, habis macam-macam barang-barang rumah keluar (dirampas) tetapi sekarang ini nampak macam beliau tidak bersalah.

"Satu orang itu pula dia jadi Timbalan Perdana Menteri (jadi) tidak boleh kena tuduh dia salah.

"Jadi saya tidak tahulah di masa hadapan kalau kita curi, kita cukup usaha jadi Perdana Menteri (maka) terlepas (dari dakwaan)," ujarnya.