BAYAN LEPAS - Pemantauan Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati tiada aduan berkenaan kenaikan harga makanan yang melampau di bazar Ramadan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pemeriksaan yang dibuat oleh pasukan pemantau setiap hari mendapati tiada gerai yang menjual makanan dengan harga tidak munasabah.
"Pasukan pemantauan turun padang setiap hari bagi membuat pemeriksaan di semua 95 bazar Ramadan seluruh negara.
"Tiada aduan diterima melibatkan kenaikan harga makanan pada minggu pertama Ramadan ini.
"Bagaimanapun, setiap hari saya melihat banyak laporan media mengenai kenaikan harga makanan. Saya mengambil ini satu perkara yang serius.
"Oleh itu, saya memohon kepada pengguna agar membuat aduan di perkhidmatan Aduan Suri melalui kod QR sekiranya berdepan dengan isu kenaikan harga makanan yang tidak munasabah. Kita akan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam," katanya.
Fuziah sebelum itu meninjau Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Utara Tahun 2025 di Bazar Ramadan Jalan Mahkamah di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, pemeriksaan melibatkan melibatkan bazar Ramadan, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.
"Sebanyak 307 aduan diterima melibatkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta berkaitan alat timbang dan sukat.
"Orang ramai diminta menjadi rakan strategik KPDN dengan menyalurkan maklumat atau aduan agar pihak kementerian dapat membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undang-undang," katanya.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, sejak Januari 2023 hingga 6 Mac tahun ini, Aduan Suri telah menerima 36,770 aduan iaitu bagi tahun ini sahaja, 142 aduan di Pulau Pinang dan 1,879 di peringkat nasiona.
Terdahulu, Fuziah melancarkan inisiatif Payung Rahmah di Pulau Pinang yang menawarkan Menu Rahmah pada harga hanya RM5 bagi membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 95 bazar Ramadan yang terlibat dalam inisiatif itu, 10 daripadanya adalah di Pulau Pinang.
"Kami juga menawarkan kad diskaun kepada peniaga yang menjual Menu Rahmah. Dengan kad diskaun ini, mereka boleh membeli bahan mentah yang tersedia di jualan Rahmah kami tanpa had, berbanding pengguna biasa.
"Sebagai contoh, mereka boleh membeli 10 ekor ayam sekali gus berbanding hanya dua ekor bagi pengguna biasa.
"Dengan cara ini, mereka dapat mengurangkan kos dan seterusnya terus menawarkan menu Rahmah demi manfaat golongan berpendapatan rendah,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menambah, setiap peniaga yang menawarkan Menu Rahmah di BRR akan menerima insentif e-dompet sebanyak RM100 sementara peniaga Menu Rahmah diberikan baucar RM50 untuk mengisi minyak di stesen Caltex.
"Bagi menggalakkan lebih ramai peniaga menyertai inisiatif Menu Rahmah, KPDN masih membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan insentif tersebut.
"Setakat hari ini, 25 peniaga di Pulau Pinang telah menyertai dan kami berharap lebih ramai akan tampil untuk menawarkan Menu Rahmah kepada pengguna," katanya.