REMBAU - Sepatutnya dua beradik yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini pada Khamis, berbuka puasa di rumah nenek di Temiang, namun hajat mereka itu tidak kesampaian.
Motosikal ditunggangi Muhammad Aidil Ramdan Mohd Hisham, 15, dan adiknya, Muhammad Asyraf Adha Mohd Hisham, 14, dilanggar oleh sebuah kereta Honda Jazz yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah.
Rempuhan itu menyebabkan Muhammad Aidil Ramdan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara Mohd Asyraf Adha cedera parah dan kini dirawat di Hospital Seremban.
Ibu saudara mangsa, Rosaliah Diego Atrocinio, 26, berkata, keadaan emosi keluarga masih belum stabil susulan masih terkejut dengan kejadian menimpa dua beradik itu.
"Dua beradik itu beritahu nak pergi rumah nenek, kerana mahu buka sekali dengan nenek dan ayahnya di sana.
"Jaraknya hanya satu kilometer, dia tinggal di Lobak dan rumah nenek pula di Temiang. Tak pasti masa kejadian mereka sempat berbuka atau tidak," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Rembau di sini pada Jumaat.
Rosaliah berkata, keluarga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang disebabkan ada unsur kecuaian dalam insiden itu.
"Jika lihat video tular, ada dakwaan kereta dipandu budak bawah umur dan dipandu dengan laju.
"Jadi buat masa ini, keluarga akan selesaikan urusan pengebumian dulu dan kemungkinan akan tuntut keadilan untuk saman pihak berkenaan," katanya.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan, dua maut dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini pada Khamis.
Kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Turut maut dalam kejadian itu ialah rakan mangsa yang menunggang Modenas Kriss iaitu Muhammad Aswari Lotpi, 16.
Bapa Muhammad Aswari iaitu Lotpi Mokhtar, 50, yang menetap di Pulau Pinang memaklumkan, dia bergegas ke Seremban sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
"Anak sulung maklumkan kejadian kira-kira jam 9 malam tadi dan saya terus bergerak dari Pulau Pinang sebelum sampai kira-kira jam 5 pagi tadi. Saya masih terkejut dan kali terakhir jumpa arwah pada kenduri abang sulungnya awal tahun lalu," katanya.
Sementara itu, ibu saudara Muhammad Aswari, Azizah Ghani, 45, berkata, walaupun Muhammad Aswari merupakan anak bongsu, namun arwah disifatkan sebagai seorang yang berdikari dan suka berusaha sendiri untuk mendapatkan duit belanja.
"Dia tak nak menyusahkan orang. Ada kata kalau adik bongsu boleh minta dengan adik beradik lain, tapi dia lebih suka usaha sendiri dan sebelum ini dia kerja cuci pinggan," katanya.