Tragedi sahur: Baju raya, duit ribuan ringgit termasuk 22 motosikal hangus

Iklan
Mohd Hafizi reda melihat 22 buah motosikal milik keluarga dan pelanggannya musnah dalam kebakaran tersebut.

TUMPAT - Seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya berputih mata apabila rumah pusaka peninggalan suami terbakar semasa mereka sedang nyenyak tidur dalam kejadian di Jalan Taman Sri Tanjung, Wakaf Bharu di sini pada Jumaat.

Pada kejadian jam 4.15 pagi itu, mereka bukan sahaja kehilangan tempat berteduh tetapi beberapa pasang baju raya yang telah dibeli sebelum Ramadan turut terbakar selain tidak sempat bersahur.

Iklan
Iklan

Lebih menyedihkan lagi apabila 22 buah motosikal turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Adam Zamri, 18, berkata, semasa kejadian mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur sebelum dia dikejutkan dengan kepulan asap tebal yang memenuhi ruangan rumah.

Iklan

"Saya tersedar kerana elektrik terputus, kemudian lihat asap tebal penuh ruangan rumah. Api dipercayai berpunca daripada meter elektrik yang terletak di luar rumah.

"Terus kejutkan ibu, abang serta kakak. Kami keluar melalui pintu dapur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan
Adam bersama ibunya, Anisah Arifin, 62, di hadapan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Jalan Taman Sri Tanjung, Wakaf Bharu, Tumpat pada Jumaat.

Menurut anak bongsu daripada 11 beradik itu, mereka sekeluarga tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya tinggal sehelai sepinggang.

Ujarnya, paling menyedihkan lagi kebakaran tersebut turut memusnahkan empat buah motosikal milik mereka manakala 18 lagi milik pelanggan abangnya, Mohd Hafizi Mohamad, 35, yang merupakan seorang mekanik.

Adam memberitahu, kejadian berlaku ketika umat Islam lain sedang bersahur itu menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat sahaja api marak terlalu cepat.

"Melihat keadaan sekarang kami belum membuat keputusan lagi untuk menumpang di rumah siapa, kerana ibu masih bersedih memikirkan duit simpanan ribuan ringgit serta barangan kemasnya juga turut hangus dalam kejadian ini.

"Duit simpanan saya serta abang juga tidak dapat diselamatkan. Bagaimanapun kami sekeluarga reda dengan kejadian ini," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03027020652042 diatas nama Hazuani Mohd@Mohamad yang merupakan kakak kepada Adam.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Sabri Mohammad berkata, kebakaran tersebut melibatkan kemusnahan 95 peratus.

Ujarnya, operasi memadamkan kebakaran tersebut melibatkan seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Tumpat dan Kota Bharu dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.