PARIT - Sebanyak 86 sampel makanan pelbagai kategori akan diambil secara rawak di bazar Ramadan dan premis makanan di seluruh Perak bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, penguatkuasaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) itu dilakukan secara berterusan menerusi Op Ramadan.
Menurut beliau, sebanyak 4,112 premis termasuk hotel yang menyediakan bufet Ramadan, premis pembekal bahan mentah serta premis penyediaan ais disasarkan diperiksa sepanjang Ramadan ini.
"Pada 2024, sebanyak 3,387 premis makanan telah diperiksa sepanjang Ramadan dan didapati 92 peratus daripadanya berada tahap memuaskan.
"Pensampelan makanan merupakan salah satu aktiviti pemantauan dan tahun lalu, sebanyak 156 sampel makanan telah diambil dan dianalisis bagi ujian mikrobiologi, kimia, fizikal dan kesalahan pelabelan makanan.
"Daripada jumlah tersebut, didapati 39 sampel melanggar piawaian yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan peluncuran Op Ramadan peringkat negeri Perak di Bazar Ramadan Seri Iskandar Busness Centre (SIBC) di sini pada Khamis.
Menurut Sivanesan, tindakan diambil mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
"Peniaga diingatkan untuk mengambil langkah dalam mengutamakan kebersihan premis makanan dan persekitaran, memakai pakaian pelindung seperti apron, penutup kepala dan kasut dan menjual makanan dalam bekas bertutup atau dibungkus dengan pembungkus makanan yang bersih, sesuai serta sempurna.
"Orang ramai juga diminta untuk mengamalkan konsep perhati dan pilih iaitu membeli makanan daripada premis dan persekitaran serta pengendalian makanan yang bersih selain tidak menyimpan makanan dalam tempoh terlalu lama," katanya.