Mangsa banjir di Kampung Segenting kongsi detik cemas rumah dinaiki air

Iklan
Penunggang motosikal meredah laluan di Kampung Segenting yang dinaiki air akibat limpahan air sungai berdekatan ekoran hujan lebat sejak Rabu. Foto Bernama

PORT DICKSON - Mangsa banjir, G Lela berkongsi detik cemas pertama kali menghadapi banjir setelah menetap lebih 30 tahun di Kampung Segenting, dekat sini pagi Khamis.

Warga emas berusia 62 tahun itu berkata, sebelum ini, kampung itu pernah dilanda banjir namun rumahnya terletak di kawasan lebih tinggi biasanya terselamat, bagaimanapun hujan lebat sejak malam Rabu hingga pagi Khamis menyebabkan rumahnya turut terkesan.

Iklan
Iklan

"Saya tinggal di sini hampir 30 tahun, memang ini pengalaman pertama saya hadapi banjir, air naik begitu cepat kerana hujan lebat dari malam tadi sehingga pagi ini, ketika ini juga masih renyai-renyai. Air naik sehingga paras pinggang, saya hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja.

"Dua daripada tiga kereta kami tidak dapat dibawa keluar, suami hanya sempat alihkan sebuah kereta sahaja, dalam keadaan cemas itu, dia terlanggar tiang, jadi belakang kereta ada kerosakan,” katanya ketika ditemui di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Segenting di sini.

Iklan
Keadaan di sekitar penempatan penduduk Kampung Segenting yang dinaiki air akibat limpahan air sungai berdekatan ekoran hujan lebat sejak Rabu. Foto Bernama

Lela berkata, ketika air sedang naik, hanya ada dia dan anak perempuannya di rumah kerana suaminya sedang membantu kejiranan lain yang lebih awal rumah dinaiki air.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab suaminya sebagai ketua kampung di situ membantu penduduk dilanda banjir, namun tidak menyangka kali ini rumah mereka juga turut terkesan.

Iklan

Sementara itu, kakaknya, G Sandra, 67, tinggal berhampiran berkata, kejadian tersebut bukan pengalaman pertama buatnya dan setiap kali banjir melanda, barangan rumah seperti sofa, peti ais, perabot lain akan rosak dan terpaksa dibuang.

"Saya baru beli kerusi rotan dua bulan lepas, mungkin tilam di kerusi itu tidak boleh digunakan lagi dan perlu diganti. Kawasan ini berhampiran dengan sungai, jadi memang ada masalah saliran, mungkin saliran air perlu diperbaiki,” katanya.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat terdapat dua lokasi banjir dilaporkan di daerah itu iaitu melibatkan 33 mangsa banjir daripada 16 keluarga di Kampung Segenting ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Segenting, manakala 28 mangsa banjir daripada tujuh keluarga di Kampung Sawah Sunggala kini berada di PPS Balai Raya Kampung Sawah Sunggala, setakat 2.50 petang Khamis. - Bernama

....................................................................................................................

73 mangsa ditempatkan di dua PPS

PORT DICKSON - 73 daripada 26 keluarga yang kediaman terjejas banjir ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) masing-masing di Balairaya Kampung Segenting dan Kampung Sawah Sunggala pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, 42 mangsa berada di PPS Balairaya Kampung Segenting dan 31 lagi di PPS Balairaya Kampung Sawah Sunggala setakat jam 5 petang ini.

"Port Dickson terima taburan hujan yang banyak melebihi tiga jam semalam sehingga menyebabkan saliran tidak dapat menampung kapasiti air hujan.

"Kawasan penempatan yang terlibat adalah Kampung Si Rusa, Telok Pelandok, belakang Taman Intan Perdana, Pasir Panjang, Kampung Segenting, Kampung Baru Telok Pelandok dan Kampung Sawah Sunggala," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ujarnya, pada masa yang sama air laut pasang menyebabkan berlaku banjir kilat di sepanjang Sungai Menyala melibatkan kampung Telok Pelandok, Kampung Segenting dan Kampung Batu 14, Pasir Panjang.