Polis siasat pemilik akaun Facebook hina, lakukan provokasi ke atas umat Islam

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Polis melakukan siasatan berhubung tindakan seorang pemilik akaun Facebook dipercayai menghina agama dan umat Islam di laman sosial itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan susulan laporan dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Manchis, Pahang pada Rabu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, laporan itu dibuat berhubung satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun terbabit yang didakwa menghina penganut agama Islam dengan kata-kata kesat.

"Polis telah menerima laporan berkaitan satu klip video berdurasi tiga minit 49 saat yang mengandungi kata-kata kesat dan penghinaan terhadap penganut Islam.

Iklan

"Berdasarkan laporan, video tersebut telah dimuat naik pada 5 Mac lalu dan dipercayai telah dipadam selepas menerima kecaman orang ramai," katanya pada Khamis.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama.

Iklan

Tambahnya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.

Tegas beliau, polis memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama di negara ini kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

"Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Tambah beliau, amaran keras diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan melalui isu-isu sensitif berkaitan kaum, agama dan raja (3R).

Razarudin berkata, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam memainkan isu 3R.

"Video tersebut dikatakan mengandungi kata-kata kesat yang menghina penganut Islam, ekoran isu melibatkan seorang penyampai radio yang sebelum ini didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu," katanya.

Semakan mendapati pautan kepada video tersebut kini tidak lagi dapat diakses dan dipercayai telah dipadam oleh pemilik akaun.