KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merujuk kertas siasatan berhubung kes video tular memaparkan tiga penyampai radio yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), pada Khamis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini sebanyak 73 laporan polis telah diterima.
"Buat masa ini tiada lagi individu lain yang dipanggil untuk memberi keterangan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Razarudin berkata, pihaknya memandang serius isu 3R (bangsa, agama dan institusi raja yang dimainkan pada masa ini terutama isu agama.
"Kita mengambil tindakan tegas dengan menggunakan segala undang-undang sedia ada tanpa mengira siapa juga yang terlibat dalam isu 3R," katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh isu-isu tersebut yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.
"Selain perpecahan dan ketegangan yang boleh mengancam keselamatan negara yang terdiri daripada pelbagai agama serta bangsa di negara kita ini," katanya.
Pada Rabu, enam individu dari stesen radio berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan dengan siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Razarudin sebelum ini memaklumkan semakan polis mendapati rakaman video itu sudah ditonton 95,400 kali dan turut dikongsi 204 pengguna di media sosial, namun hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati video itu sudah pun dipadamkan pihak stesen radio berkenaan.
Setelah menerima pelbagai kecaman, tiga penyampai radio tersebut tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi itu yang dilihat mempersendakan upacara keagamaan.
Berikutan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan siasatan terperinci setelah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio berkenaan.