[VIDEO] Tiga rakan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan edar, miliki dadah

Iklan

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis melepas dan membebaskan tiga rakan yang didakwa mengedar serta memiliki dadah jenis methamphetamine di Mersing, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, iaitu S Purusothaman, 42, K Puvan Isveran, 58, dan R Viknesh, 39, di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Dalam penghakimannya, mahkamah berpandangan bahawa premis dan ladang yang menjadi lokasi serbuan boleh diakses oleh pihak lain selain ketiga-tiga tertuduh. Pandangan itu turut disokong oleh keterangan saksi pihak pendakwaan sendiri.

Ketiga-tiga tertuduh, yang bekerja sebagai penternak, sebelum ini didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 6.2 kilogram serta memiliki cecair mengandungi dadah sama berisipadu 58.68 liter.

Iklan
Ketiga-tiga tertuduh (baju putih) dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Kampung Pangkalan Batu, Mersing, Johor, pada kira-kira jam 4.10 petang, 28 Ogos 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) yang dibaca bersama Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Iklan

Sepanjang perbicaraan, seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said, manakala tertuduh pertama, Purusothaman, diwakili peguam Subramaniam Nair dan V S Selvanteran.

Tertuduh kedua dan ketiga, Puvan Isveran serta Viknesh, pula diwakili peguam Harshaan Zamani dan K Ganeraja.

Dengan keputusan itu, ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.