Kerajaan tidak bercadang pinda Akta Anti Lompat Parti – Azalina

Iklan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR - Kerajaan sehingga kini tidak mempunyai cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagaimanapun berkata, kerajaan sentiasa bersedia bagi meneliti perkara berkenaan dengan lebih lanjut bersama semua parti kerajaan dan pihak pembangkang.

Iklan
Iklan

Selain itu katanya, buat masa ini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia sumbangan politik di Malaysia.

"Peruntukan sedia ada yang berkaitan adalah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau perbelanjaan calon pilihan raya sahaja dan bukannya perbelanjaan parti.

Iklan

"Maka, penggubalan cadangan RUU Pendanaan Politik ini dilihat dapat mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik di Malaysia dan seterusnya memberikan imej yang positif kepada kerajaan dan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah baik Akta Anti Lompat Parti dan membentangkan Akta Pendanaan Politik di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-16.

Iklan

Tambah Azalina, kerajaan telah melaksanakan beberapa siri mesyuarat pada tahun 2023 hingga 2024 dalam usaha penggubalan RUU Pendanaan Politik yang mana melalui mesyuarat ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga telah membentangkan cadangan penetapan dasar.

Selain itu, BHEUU, JPM juga telah mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Kewangan (MOF) pada 13 Disember 2024 untuk membincangkan cadangan utama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai had skop bayaran sumbangan dan pendanaan awam untuk parti politik.

"Sesi libat urus turut diadakan dengan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melalui penganjuran Political Financing International Conference 2025 pada 14 Januari 2025.

"Sehingga Februari 2025, sebanyak lapan sesi libat urus telah diadakan, termasuk lima sesi bersama wakil parti politik dan agensi Kerajaan serta tiga mesyuarat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi,” jelasnya.

Selain itu, pada 10 Februari 2025, Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen telah mengemukakan maklum balas mengenai penambahbaikan skop dasar RUU Pendanaan Politik.

Beliau juga telah mempengerusikan mesyuarat pada 12 Februari 2025 bersama JKPK, KRPPM dan kementerian serta agensi kerajaan seperti SPRM, MOF, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk membincangkan hala tuju dan kebolehlaksanaan RUU Pendanaan Politik.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara, seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik.

"Justeru itu, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bersama setiausaha agung semua parti politik.

"Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri bagi mendapatkan pandangan dan pendirian parti mengenai cadangan penggubalan RUU ini serta membincangkan persoalan dasar yang timbul,” jelasnya.