SHAH ALAM - Satu kertas siasatan berhubung kes video tular stesen radio Era FM sedang dilengkapkan dan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya sedang berusaha melengkapkan siasatan melibatkan enam petugas, termasuk tiga penyampai stesen radio itu, yang didakwa mempersenda upacara keagamaan.
Beliau berkata, siasatan itu dijalankan susulan enam individu dari stesen radio berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan pada Rabu.
"Kita akan cuba lengkapkan siasatan dan akan hantar kepada pihak AGC secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu.
Sinar Harian melaporkan bahawa enam individu, termasuk tiga penyampai radio Era FM, telah selesai memberi keterangan di Bukit Aman berhubung dakwaan mempersenda upacara keagamaan menerusi media sosial stesen radio tersebut.
Polis mengambil masa lebih dua jam untuk merakam keterangan enam individu terbabit.
Tiga penyampai radio terkenal itu bagaimanapun gagal ditemui pihak media kerana kenderaan yang membawa mereka masuk melalui pintu dalam Bukit Aman.
Ketiga-tiganya menaiki kereta jenis Toyota Vellfire.
Sementara itu, tiga lagi petugas stesen radio yang diambil keterangannya berjalan keluar bersama beberapa individu lain dari Bukit Aman.
Keenam-enam individu tersebut hadir kira-kira jam 10.30 pagi, dan sesi keterangan berlangsung lebih dua jam dengan siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Sehingga hari ini, sebanyak 44 laporan polis telah diterima berkaitan isu berkenaan.