KUALA TERENGGANU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu akan menyediakan sebanyak 60 tan metrik bekalan kelapa tua pada bulan ini bagi memenuhi permintaan orang ramai pada Ramadan dan Aidilfitri.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, tindakan itu diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan kelapa yang mendapat permintaan tinggi terutama menjelang raya.
Menurutnya, bekalan diterima dari ibu pejabat FAMA itu akan dihantar ke Pusat Operasi FAMA Kuala Terengganu dan Pusat Operasi FAMA Besut supaya dapat diagihkan kepada outlet di bawahnya.
"Bekalan kelapa tua diterima dari negara Indonesia melalui anak syarikat FAMA iaitu FAMA Corporation Sdn Bhd. Setakat ini kita telah menerima sebanyak 10 tan kelapa tua untuk kegunaan sepanjang minggu pertama Ramadan.
"Pada bulan Januari dan Februari lalu, FAMA Terengganu telah terima 30 tan kelapa tua yang diagihkan ke outlet FAMA, pemborong dan juga peniaga santan yang membeli secara terus.
"Kita jangka permintaan akan meningkat sehingga 20 tan seminggu terutama dua minggu sebelum perayaan. Jadi kita akan bawa masuk keseluruhan 60 tan untuk menampung permintaan pada bulan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhamad Fadlee berkata, ketika ini bekalan kelapa tua dijual pada harga RM3 sekilogram.
Bagaimanapun beliau berkata, harga kelapa itu akan berubah mengikut pasaran semasa disebabkan beberapa faktor termasuk kemerosotan pembekalan ekoran perubahan iklim.
"Selain itu, peningkatan permintaan menyebabkan harga kelapa import turut meningkat khususnya kelapa Indonesia dan berlaku persaingan komoditi tersebut di peringkat global.
"Kita berharap inisiatif FAMA melalui pelan intervensi kelapa tua dapat memenuhi keperluan orang ramai pada Ramadan dan menjelang Syawal bakal disambut tidak lama lagi," jelas beliau.