SEREMBAN - Kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa melakukan pemantauan di kawasan Bukit Pelanduk, Port Dickson berikutan aduan kali ketiga mengenai penemuan sisa babi yang dibuang di kawasan berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, terdapat kira-kira 100 bangkai babi dibuang di sebuah tanah persendirian di lokasi berhampiran penemuan pembuangan sisa babi sebelum ini.
"Saya baru dapat maklumat mengenai pembuangan lebih kurang 100 bangkai babi mati yang dibuang di kawasan itu.
"Saya nak ingatkan pihak berwajib, Jabatan Veterinar dan polis supaya lebih kuat kuasa pemantauan di kawasan Bukit Pelanduk kerana di situ tiada kawasan peliharaan babi," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco pada Rabu.
Beliau tidak menolak kemungkinan bangkai tersebut dibawa ke negeri ini dari negeri lain bagi tujuan pelupusan.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berwajib memberi perhatian serius berhubung perkara terbabit, lebih-lebih ia boleh mengundang isu pencemaran dan kesihatan.
"Tiada kawasan peliharaan babi di Bukit Pelanduk, tapi ada bangkai babi yang dihantar dari luar ke sini dan saya minta pihak berwajib beri perhatian kerana ia beri kesan kurang baik kepada pemilik tanah.
"Kita tidak mahu dijadikan kawasan pembuangan sebegini. Siapa pun tidak mahu dihantar bangkai dan ia satu perkara yang kurang hormat," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berharap perkara berkenaan tidak berulang lagi dan pihaknya telah meminta siasatan lanjut dilakukan.
Sebelum ini media melaporkan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) telah melaksanakan aktiviti nyahkuman di lokasi pembuangan sisa babi haram yang dikesan di kawasan Site A Tanah Merah, Port Dickson pada 13 Februari lalu.
Pihaknya dilaporkan berkata, menerima aduan daripada orang ramai berkaitan bau busuk dan potensi risiko kesihatan akibat pembuangan sisa babi itu.