KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Pasukan bomba mengambil masa hampir satu jam mengeluarkan kepala wanita yang terbenam di tanah dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap rumahnya di Kampung Lok Bunu, Sepanggar, di sini awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, mangsa wanita berusia 53 tahun itu terperangkap dalam rumah dan tidak sempat menyelamatkan diri kerana dipercayai sedang tidur.
"Anak lelaki mangsa sempat keluar dari rumah semasa runtuhan berlaku, manakala ibunya pula terperangkap di dalam rumah tersebut kerana sedang tidur.
"Mangsa terbenam di tanah pada kedalaman kira-kira 0.3 meter dan lehernya terhimpit dengan kayu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum itu, Sinar Harian melaprkan seorang wanita maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, wanita itu berjaya dikeluarkan dari runtuhan tersebut namun disahkan meninggal dunia manakala anak lelakinya berusia 25 tahun sempat menyelamatkan diri.
Wanita maut dihempap tanah runtuh
KOTA KINABALU - Seorang wanita maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa rumahnya di Kampung Lok Bunu, Jalan Sepanggar, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, wanita berusia 53 tahun berjaya dikeluarkan dari runtuhan tersebut namun disahkan meninggal dunia manakala anak lelakinya berusia 25 tahun sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.32 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 23 kilometer dari BBP Kota Kinabalu.
"Menurut laporan, berlaku hakisan tanah runtuh yang telah menimbus sebuah rumah jenis tidak kekal dan menyebabkan kerosakan 100 peratus terhadap rumah tersebut.