Penduduk Ayer Kuning mohon kerja bina jambatan dipercepat

Iklan
Projek bina baharu jambatan di Kampung Sungai Kurong yang runtuh sejak Oktober tahun lalu telah dimulakan dengan peruntukan daripada KKWD. (Gambar kecil: Noraini, Mohd Zafri)

TAPAH - Laluan gelap dan sering diganggu anjing liar. Itu dihadapi hampir 2,000 penduduk di tiga kampung dekat Simpang Empat di sini sejak Oktober tahun lalu selepas jambatan yang menghubungkan kawasan berkenaan ke pekan utama, runtuh akibat banjir.

Keadaan itu memaksa penduduk di Kampung Sungai Kurong Dalam, Kampung Orang Asli Sungai Kurong dan Kampung SMTD menjadikan kebun sawit sebagai laluan alternatif.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Kurong, Mohd Zafri Adenan berkata, laluan kebun sawit tersebut bukan sahaja gelap, malah banyak anjing liar berkeliaran.

Menurutnya, situasi itu menyukarkan pergerakan penduduk pada waktu malam dan paling merisaukan, membahayakan keselamatan anak-anak yang dalam perjalanan ke sekolah.

Iklan

"Ada satu lagi laluan alternatif di jalan utama Kampung SMTD, tetapi jaraknya agak jauh membuatkan penduduk lebih memilih menggunakan jalan kebun sawit.

"Kerap berlaku ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah menaiki motosikal dikejar dan diganggu anjing liar ketika melalui kawasan kebun," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata, jambatan runtuh itu telah mendapat perhatian kerajaan yang meluluskan peruntukan RM350,000 melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi kerja bina baharu.

Katanya, kerja-kerja pembinaan yang dimulakan bulan lalu, baru memasuki 15 peratus dengan pemasangan cerucuk besi dan telah memberi kelegaan kepada penduduk.

"Apabila siap kelak, jambatan ini lebih besar dan panjang serta boleh digunakan kenderaan berat tidak melebihi lima tan.

"Cuma kami berharap, kerja-kerja pembinaan ini dipercepatkan dan dapat disiapkan menjelang sambutan Aidilfitri untuk memudahkan akses keluar masuk penduduk dan mereka yang pulang ke kampung," katanya.

Sementara itu, penduduk, Noraini Mohd Zun, 33, berkata, walaupun jambatan itu berada di kawasan pedalaman, tetapi cukup penting kepada penduduk untuk melakukan urusan harian berkaitan ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

"Alhamdulillah, apabila kita laporkan sahaja kerosakan jambatan ini kepada wakil rakyat, tindakan segera diambil untuk menyelesaikannya," katanya.

Media melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Mac untuk urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning susulan kekosongan kerusi akibat kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin.

Ishsam, 59, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.