KUANTAN - Dua kilang ais di negeri ini diarah tutup kerana gagal memastikan premis berada di dalam keadaan bersih.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, daripada 15 kilang ais diperiksa, sebanyak sembilan notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut dikeluarkan dengan nilai RM11,550 kepada pemilik selepas didapati gagal menyediakan Program Jaminan Keselamatan Makanan.
Menurutnya, turut dikesan pemilik tidak mengadakan sistem kebolehkesanan makanan, pengendali tidak mengenakan apron semasa mengendalikan ais dan ais yang dijual tidak mempunyai label seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
"Selain itu, dalam tempoh dua hari Ramadan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mengeluarkan 24 Notis Memerintah Kehadiran Ke Mahkamah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri ini.
"Kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 412 gerai dan 940 pengendali makanan di bazar Ramadan seluruh negeri Pahang.
"Antara kesalahan yang dikesan, pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan serta gagal memastikan kuku sentiasa pendek selain memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan Di Bazar Ramadan di Tapak Bazar Ramadan Kuala Rompin, Rompin pada Selasa.
Razali berkata, sebanyak 18 sampel makanan sedia dimakan telah diambil pada minggu pertama Ramadan dan telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.
"Setakat ini, keputusan bagi semua sampel tersebut belum diterima.
"Pensampelan dan pemeriksaan premis makanan akan diteruskan pada minggu-minggu berikutnya," katanya.
Sementara itu katanya, taklimat keselamatan makanan telah diadakan di setiap daerah melibatkan semua peniaga sebelum bazar Ramadan bermula.
"Langkah itu bagi memastikan peniaga peka terhadap isu berkaitan keselamatan makanan.
"Sebanyak 904 pendidikan kesihatan secara individu telah diberikan bagi memastikan pengendali makanan q mematuhi aspek-aspek keselamatan dan kebersihan makanan," katanya.
Tambah beliau lagi, penggunaan kod QR Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bazar Ramadan juga turut diperluaskan di seluruh lokaliti bazar Ramadan di negeri Pahang.
"Ia sebagai medium bagi memudahkan orang awam menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar- bazar Ramadan di negeri ini," katanya.