KUANTAN - Kebakaran ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini sejak 22 Februari lalu semakin merebak dengan kawasan terbakar meningkat kepada 130 hektar sehingga Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, daripada keseluruhan kawasan terbakar, 91.9 hektar berjaya dipadamkan manakala usaha memadam baki kawasan terbakar seluas kira-kira 78.6 hektar masih diteruskan.
Menurutnya, tindakan segera diambil bagi memastikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya bagi mengelak pencemaran udara yang berlaku di kawasan Balok Baru dan beberapa kawasan sekitar daerah ini sejak Ahad lalu tidak berlanjutan hingga menjejaskan kesihatan penduduk.
"Kerja-kerja memadam kebakaran ladang kelapa itu dijangka selesai minggu ini sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
"Kebakaran ladang ini sebenarnya telah berjaya dikawal Jumaat lalu namun api kembali merebak pada Ahad ekoran angin kencang," katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran pada Selasa.
Mohd Razam berkata, pihak bomba terpaksa berdepan beberapa cabaran dalam operasi kali ini antaranya cuaca panas dan angin kuat pada waktu malam selain masalah laluan masuk ke kawasan terbakar.
"Operasi terpaksa ditangguhkan pada waktu malam atas faktor keselamatan anggota menyebabkan api merebak apabila angin kuat berlaku di kawasan tersebut," katanya.
Tambah beliau, operasi memadam kebakaran yang kini memasuki hari ke-11 dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dibantu anggota dari 10 balai bantuan luar zon 1 dengan jumlah keseluruhan anggota terlibat 70 orang.
"Operasi turut dibantu agensi sahabat terdiri Pejabat Daerah Kuantan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip).
"Pengeboman air masih dilakukan menggunakan pesawat jenis Mi-17 selain bantuan pam berkuasa tinggi dari JPS digunakan untuk membanjiri keseluruhan kawasan terbakar.
"Tiga 'backhoe' dan dua jengkaut digunakan untuk membuat sekatan api dan laluan masuk ke kawasan terbakar," katanya.
Mohd Razam berkata, setakat ini belum ada sebarang kemalangan melibatkan kecederaan berlaku kepada anggota semasa kerja-kerja pemadaman dilakukan.