Kanak-kanak kanser saraf perlu RM344,844 biayai kos ubat

Iklan
Azroyhatta berharap orang ramai dapat membantu menampung kos ubatan anaknya.

MELAKA - Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak mereka menderita sakit, lebih-lebih lagi usia cahaya mata mereka baharu berusia tujuh tahun.

Namun itu yang terpaksa dilalui seorang juruteknik kilang, Azroyhatta Md Jais, 35, dan isteri, Shakila Silah, 36, apabila anak tunggal mereka, Nur Sumayyah Azroyhatta disahkan menghidap kanser saraf.

Iklan
Iklan

Azroyhatta yang menetap di rumah PRIMA Kampung Padang di sini, berkata, penderitaan anaknya bermula pada 26 Oktober tahun lalu, apabila Nur Sumayyah mengalami demam berulang selama seminggu serta sakit perut.

Keadaan Sumayyah selepas menjalani pembedahan pada 19 Februari lalu.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan anaknya, dia dan isteri membawa Nur Sumayyah ke sebuah klinik di Malim sebelum dirujuk ke Hospital Putra kerana bacaan demamnya semakin tinggi.

Iklan

"Doktor pada mulanya hanya periksa demam dan tekanan darah tapi selepas menjalani ultrasound, mereka temukan ketulan besar di perut berdekatan buah pinggang.

"Doktor kemudian mencadangkan CT scan bagi menentukan sama ada ketumbuhan itu bersifat biasa atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iklan

Azroyhatta berkata, Nur Sumayyah dihantar ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur dan doktor pakar mengesahkan 90 peratus ketumbuhan itu adalah kanser.

"Masa tu saya rasa dunia gelap, isteri juga menangis dan hari yang sama mereka mengambil sampel sumsum tulang untuk pastikan tahap kanser.

Azroyhatta dan isteri bersama Nur Sumayyah sebelum menjalani proses kemoterapi.

"Sejak disahkan menghidap kanser, Sumayyah telah menjalani lapan sesi kemoterapi bagi mengawal pertumbuhan sel barah," katanya.

Ujar beliau, pembedahan akhirnya dijalankan pada 19 Februari lalu namun rawatan masih perlu diteruskan untuk memastikan sel-sel kanser tidak kembali aktif.

"Apa yang merunsingkan kami sekarang, apabila selesai semua prosedur ini, Nur Sumayyah perlu mengambil 15 botol ubat Qarziba keseluruhannya berjumlah RM344,844.

"Ubat ini untuk mencegah kanser saraf itu daripada muncul semula yang dijangka mula diambil seawal September ini," katanya sebak.

Tambahnya, dengan pendapatan RM1,700 sebulan selain isteri tidak bekerja, agar sukar untuk dia mengumpul kos ubat itu biarpun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Justeru, dia merayu orang ramai dapat membantunya mengumpul dana tersebut sekali gus memberi sinar harapan untuk anaknya kembali sihat seperti kanak-kanak lain dengan izin ALLAH SWT.

"Dengan keberkatan bulan Ramadan, saya harap ada pihak yang bermurah hati untuk membantu anak saya," ujarnya.

Azroyhatta yang setia menemani anaknya, turut membotakkan kepalanya sebagai solidariti terhadap Nur Sumayyah yang kehilangan rambut akibat kemoterapi,

"Saya mahu dia tahu dia tidak bersendirian dan kami juga berpuasa bersama-sama," ujarnya lagi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat 04010042494728 atas nama Azroyhatta Bin Md Jais atau menghubunginya di talian 017-646 1436 untuk urusan lanjut.