Tarik lesen peniaga gagal patuhi kebersihan di bazar Ramadan

Iklan
Wan Sukairi (kiri) menyerahkan cenderamata kepada salah seorang peniaga bazar Ramadan.

SETIU - Kerajaan Terengganu akan bertindak tegas termasuk menarik balik lesen peniaga bazar Ramadan sekiranya didapati gagal mematuhi isu berkaitan kebersihan makanan.

Exco Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tindakan itu sebagai bentuk pengajaran kepada peniaga supaya kebersihan sentiasa dititikberatkan serta mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti keracunan makanan.

Iklan
Iklan

"Sekiranya didapati ada peniaga dan penganjur bazar ramadan itu melanggar syarat-syarat ditetapkan pihak majlis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah pasti tindakan diambil terhadap mereka termasuk menarik lesen.

"Setakat dua hari ini kita melihat semua lokasi bazar Ramadan di negeri ini berjalan dengan baik.

Iklan

"Jadi kita harap supaya tiada isu-isu seperti keracunan makanan, penipuan dan isu keselamatan yang sepatutnya dijaga peniaga bazar tidak berlaku pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program Bazar Ramadan Peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri di sini pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, pihaknya sudah meminta PBT dan pihak jabatan kesihatan untuk melakukan pemantauan di lokasi bazar Ramadan setiap daerah di negeri ini bagi memastikan semua pengendali makanan mematuhi peraturan dan tahap kebersihan ditetapkan.

"Pihak jabatan kesihatan negeri dan pihak majlis sekurang-kurangnya sekali atau lebih dari sekali untuk turun lakukan pemeriksaan di bazar Ramadan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

"Selain itu, pelanggan juga boleh membuat aduan segera pada PBT di tempat masing-masing sekiranya didapati berlaku isu berkaitan kebersihan makanan sebab ada pegawai bertugas bagi pastikan kejadian (keracunan makanan) tidak diulangi," jelas beliau.

Wan Sukairi berkata, pada tahun ini sebanyak 57 lokasi bazar Ramadan akan beroperasi di seluruh Terengganu melibatkan seramai 4,456 peniaga.

Beliau berkata, beberapa tapak bazar Ramadan yang dikategorikan sebagai 'hotspot' di Terengganu akan dipantau antaranya Bazar Ramadan Dataran Syahbandar, Bazar Ramadan Jambatan Angkat (Drawbridge) dan Bazar Ramadan Batu Buruk.

Katanya, ia berikutan bazar tersebut antara yang menjadi tumpuan pengunjung serta pernah berdepan isu berkaitan kebersihan makanan.