KUALA NERUS - Sebanyak 164 buah sekolah melibatkan lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Terengganu akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada 27 Oktober lalu hingga Mac 2027.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut, 11 buah sekolah mencatatkan rekod kekerapan pengaktifan tertinggi sebagai PPS sepanjang tempoh 2018 hingga 2025.
Menurut beliau, sebanyak 149 institusi pendidikan merangkumi pelbagai aliran termasuk kolej vokasional dikenal pasti berada dalam zon kerap banjir, manakala 63 sekolah diklasifikasikan sebagai kawasan 'hotspot' berisiko tinggi yang menuntut persiapan lebih awal.
"Bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap maksimum, JPN telah melaksanakan simulasi banjir dan mesyuarat penyelarasan bersama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Kita tidak boleh menjangkakan kawasan yang akan dinaiki air kerana ada tempat yang dijangka banjir tetapi tidak berlaku, sebaliknya kawasan yang tidak dijangka pula berdepan musibah itu.
"Jadi, semua sekolah diarahkan mengambil langkah awal termasuk memastikan aset penting seperti komputer dipindahkan ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerugian," katanya ketika ditemui pada Majlis Menjulang Bakti, Menyulam Legasi yang meraikan 971 pesara guru di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Kamsah memaklumkan Terengganu kini dilengkapi dengan sebuah Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang, Hulu Terengganu yang siap sepenuhnya pada Januari lalu dan akan mula beroperasi pada tahun ini.
Jelasnya, kemudahan itu telah dinaik taraf dengan suntikan dana sebanyak RM1 juta daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menempatkan lebih 500 mangsa dalam satu-satu masa dengan kelengkapan infrastruktur lebih selesa.
"Sebuah lagi PPKB juga sedang rancak dibangunkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong di Kuala Terengganu dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan," ujarnya.
Sementara itu, mengulas persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula 23 November ini, beliau memberi jaminan JPN telah merangka pelan alternatif bagi memastikan kelancaran peperiksaan sekiranya banjir melanda.
Jelas beliau, calon dari sekolah berisiko seperti SMK Intan Zaharah dan SMK Mahmudiyah di Hulu Terengganu akan dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif di sekolah berhampiran jika keadaan mendesak.
"Berdasarkan rekod pada 2024, sebanyak 83 sekolah di negeri itu terjejas akibat banjir yang melanda dalam empat gelombang, berbanding hanya tiga gelombang berskala kecil pada tahun sebelumnya.
"Hujan lebat baru-baru ini turut mengakibatkan kawasan asrama SMK Padang Midin dinaiki air sehingga operasi memindahkan barangan dan tilam terpaksa disegerakan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, meskipun berdepan ancaman bencana, Kamsah memuji komitmen luar biasa guru-guru di negeri itu yang sanggup mengorbankan masa secara sukarela demi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di PPS.
"Kita tidak mengeluarkan arahan, tetapi mereka hadir atas kesedaran sendiri. Walaupun murid berada di PPS, pengajaran diteruskan sama ada secara bersemuka atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar tiada pelajar yang keciciran," katanya.