Akta 775 kawal pengamal perubatan tradisional tidak bertauliah

Iklan
Pengamal perubatan tradisional menyambut baik pelaksanaan Akta 775 yang dilihat sebagai langkah penting dalam mengawal selia industri perubatan tradisional. Gambar kecil dari kiri: Muhamad Hafiz, Shamsudin

SHAH ALAM - Penguatkuasaan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) merupakan langkah positif mengangkat martabat pengamal perubatan tradisional dalam negara, selain melindungi kepentingan pengguna daripada rawatan yang tidak berkelayakan dan berisiko.

Pengerusi Pertubuhan Pengamal Perubatan Melayu Nusantara (Pemera), Muhamad Hafiz Ab Ghani berkata, akta tersebut bukan sahaja memberi perlindungan kepada pengamal perubatan yang sah, ia juga dapat mengekang penipuan dalam industri berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengamal perubatan tradisional menyambut baik pelaksanaan Akta 775 yang dilihat sebagai langkah penting dalam mengawal selia industri perubatan tradisional.

"Akta ini dapat memberikan keyakinan kepada pengamal perubatan mahupun pengguna.

Iklan

"Ia juga dapat membanteras individu yang menawarkan rawatan tanpa tauliah dan tidak diiktiraf, termasuk mereka yang menjalankan penipuan rawatan tradisional.

"Ramai scammer di luar sana menawarkan rawatan tanpa tauliah, dengan adanya Akta 775 golongan tersebut tidak dapat beroperasi dengan bebas,” tambahnya.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perawat Melayu Islam Malaysia, Shamsudin Ismail berkata, jumlah pengamal yang mendaftar masih rendah, menunjukkan majoriti belum bersedia dengan penguatkuasaan akta tersebut.

"Walaupun Akta 775 dikuatkuasakan bermula tahun 2016, tempoh peralihan sehingga Februari 2024 dan dianjakkan sehingga Ogos sebelum dikuatkuasakan pada 1 Mac tahun ini, tidak ramai tampil mendaftar disebabkan KKM kurang melakukan promosi dan hebahan,” katanya.

"Dari aspek positif, ia membantu pengamal memiliki sijil dan pengiktirafan kerajaan serta peluang memajukan bidang perubatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kesan negatifnya, pengamal perlu mengeluarkan modal besar untuk pendaftaran selain terpaksa menjalani kursus tertentu,” katanya.