FENOMENA transgender atau lelaki lembut di Malaysia bukan baharu. Cuma kebelakangan ini golongan tersebut nampaknya semakin berani menonjolkan identiti mereka kepada umum termasuk menjadi pempengaruh di media sosial.
Lihat sahaja kontroversi panas baru-baru ini ketika sebuah acara pertandingan muzik tahunan yang turut disiarkan secara langsung menerusi stesen TV tempatan.
Beberapa individu yang dikatakan pempengaruh lelaki dengan selamba menyarungkan pakaian wanita menerusi sesi karpet merah. Sudahlah menggayakan baju wanita, siap berdandan sakan dan dengan bangga ke hadapan untuk ditemu bual media. Tiada rasa segan langsung!
Di media sosial pula, ada juga pempengaruh tanpa rasa malu berkongsi video kononnya memasak untuk pasangan, siap berpelukan mesra dengan gaya romantik. Walaupun jelas gaya hidup mereka menongkah arus norma masyarakat, tetapi masih berusaha menormalisasikan budaya songsang kepada umum.
Dulu, golongan lembut ini lebih senyap, berada dalam kelompok tertutup. Namun kini, dengan pengaruh media sosial yang semakin besar, mereka semakin berani tampil di ruang awam, malah menjadi perhatian arus perdana.
Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan ramai kerana ia mencabar nilai budaya dan agama yang sudah sekian lama menjadi tunjang kehidupan rakyat Malaysia.
Persoalannya, adakah kita sudah sampai ke tahap menerima semua ini sebagai perkara biasa?
Insiden lelaki berpakaian wanita secara terang-terangan di kaca TV bukan perkara remeh. Ini satu isu yang perlu ditentang kerana mencabar norma sosial dan agama.
Berdasarkan satu hadis, Nabi Muhammad SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.
"Daripada Abu Qatadah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki. - Riwayat Abu Daud (4098).Kalau hukum agama itu sudah jelas, kenapa masih ada yang nak mempertahankan perbuatan golongan ini?
Tidak dinafikan, ada yang berhujah soal hak individu dan kebebasan ekspresi bahawa Malaysia negara demokrasi. Tapi kebebasan ada hadnya. Jangan sampai kebebasan menjejaskan sensitiviti majoriti rakyat yang masih berpegang teguh kepada nilai agama dan budaya.Situasi ini bagaimanapun meletakkan kita dalam dilema besar sama ada mengekalkan nilai tradisional atau tunduk kepada perubahan zaman.
Ramai yang mendesak agar garis panduan lebih ketat dikenakan terhadap program hiburan supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan ruang kepada budaya lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) merujuk kepada komuniti individu yang mempunyai orientasi seksual atau identiti jantina yang berbeza daripada norma heteroseksual dan cisgender.
Namun, tidak boleh sekadar menghukum tanpa memberi solusi. Peranan ulama, pemimpin dan masyarakat sangat penting dalam menangani isu ini.
Pendidikan agama dan moral perlu diperkukuh dalam kalangan generasi muda. Institusi kekeluargaan mesti diperkuatkan. Dakwah harus dijalankan dengan hikmah agar mereka yang terpengaruh ini kembali ke landasan yang benar.
Masyarakat kita hidup dalam kepelbagaian, namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan perkara yang bercanggah dengan norma terus berleluasa.
Justeru, pada hemat penulis, keseimbangan antara nilai tradisional dan perubahan zaman harus dijaga. Tidak salah jika mahu berfesyen, tapi jangan membawa contoh tidak elok kepada masyarakat, lebih-lebih lagi jika anda orang yang mempunyai pengikut yang ramai.
Secara kesimpulan, isu ini bukan sekadar soal kebebasan individu. Ia lebih daripada itu kerana berkait rapat dengan identiti budaya dan agama kita sebagai rakyat Malaysia.
Bimbang jika terlalu dibiarkan, tidak mustahil perkara sedemikian menjadi semakin sukar dikawal pada masa depan.
* Zaiton Abdul Manaf ialah Editor Rencana SinarPlus