TOKYO – Sebuah bandar kecil di Jepun kini secara rasmi memegang gelaran taman terkecil di dunia, dengan keluasan hanya 0.24 meter persegi atau lebih kurang sebesar dua helai kertas A3.
Terletak di Bandar Nagaizumi, Shizuoka, kira-kira sejam dari Tokyo, taman mini ini lengkap dengan pintu masuk, bangku kecil, dan secebis rumput di mana ia cukup-cukup muat untuk seorang sahaja duduk.
Iklan
Iklan
Menurut Shuji Koyama, ketua bahagian pengurusan pembinaan bandar tersebut, taman ini sebenarnya wujud sejak tahun 1988 bagi memanfaatkan ruang jalan yang tidak digunakan.
Namun, hanya baru-baru ini ia diukur secara rasmi dan disahkan oleh Guinness World Records (GWR) sebagai taman terkecil di dunia.
Idea untuk mencipta taman ini timbul selepas seorang kakitangan majlis perbandaran Nagaizumi melawat Mill Ends Park di Portland, Oregon, Amerika Syarikat, yang merupakan pemegang rekod taman terkecil sebelum ini.
Demi memastikan rekod dunia menjadi milik Jepun, pihak majlis mengupah juruukur profesional untuk memastikan taman kecil mereka memenuhi semua syarat GWR – dan akhirnya berjaya merampas gelaran tersebut.
"Saya sangat lega dan bangga kerana ciptaan unik ini kini tercatat dalam sejarah,” kata Koyama, yang menganggap kejayaan ini sebagai pencapaian luar biasa untuk bandar kecil mereka. - Agensi