SHAH ALAM - KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menerajui transformasi penjagaan kesihatan menerusi pelancaran kempen Tahun AInnovation untuk meningkatkan integrasi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi dalam operasinya selain memberi keutamaan kepada pesakit.
Melalui kempen tersebut, beberapa program utama sedang dirangka termasuk Cabaran KPJ Redefi ning Aspirations for Tomorrow (K.R.A.F.T.) 2025.
Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan berkata, AI bukan sekadar alat tetapi juga pemangkin kepada transformasi sistem penjagaan kesihatan yang lebih pintar dan cekap.
Menurutnya, selain memacu penggunaan AI, KPJ Healthcare turut membentuk generasi profesional penjagaan kesihatan yang dipacu AI melalui Universiti KPJ Healthcare (KPJU), untuk maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan, sila layari https://kpju.edu.my/.
"AI membolehkan kami bekerja dengan lebih pantas, memberi diagnosis dengan lebih tepat dan meningkatkan akses penjagaan kesihatan sekali gus mengekalkan sentuhan manusia dalam setiap perkara yang kami lakukan.
"Menyedari potensi transformatif AI, KPJU menawarkan kursus AI dan Sains Data untuk melengkapkan profesional penjagaan kesihatan, penyelidik dan pelajar dengan kemahiran penting untuk landskap penjagaan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Beliau berkata, program itu meliputi AI dalam amalan perubatan, kepimpinan kesihatan digital dan operasi penjagaan kesihatan yang dikuasakan AI, mengukuhkan komitmen KPJ terhadap inovasi.
Kempen itu digerakkan berasaskan solusi pintar AI sedia ada di KPJ Healthcare yang telah digunakan di seluruh rangkaian, termasuk Pengimbasan Retina AI untuk pengesanan awal retinopati diabetik dan Pengimejan AI bagi pemeriksaan kanser paruparu KPJ juga turut bekerjasama dengan rakan niaga yang lain untuk mengembangkan penyelesaian teleperubatan berdaya 5G, diagnostik berkuasa AI dan penyelesaian pengimejan holografik.
Aplikasi Melati bantu pengambilan perubatan pesakit
Aplikasi Melati merupakan sebuah platform AI yang merevolusikan pengambilan sejarah perubatan pesakit.
Ia dapat memanfaatkan pemprosesan bahasa semula jadi dan berasaskan teks interaktif perbualan untuk mengumpul simptom, ubat dan alahan pesakit melalui telefon bimbit dengan penggunaan pelbagai bahasa.
Penggunaan Melati dapat mengurangkan masa yang dihabiskan mengenai pengambilan sejarah pentadbiran, sekali gus membolehkan doktor memberi tumpuan kepada perkara sebenar.
Ia juga berfungsi menjawab soalan pesakit, menerangkan rancangan rawatan dan menyediakan bimbingan yang lebih baik.
Cabaran K.R.A.F.T. 2025 pacu inovasi kesihatan
Selain penggunaan AI, KPJ Healthcare turut melabur dalam inovasi tempatan melalui Cabaran K.R.A.F.T. 2025 iaitu sebuah inisiatif di bawah Tahun AInnovation yang memfokuskan pada mengubah idea inovatif menjadi penyelesaian penjagaan kesihatan dunia sebenar.
Menurut Chin, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kemajuan dalam AI dan kesihatan digital, kecemerlangan klinikal, kecekapan operasi, kemampanan dan bioteknologi di samping menyediakan peluang untuk bimbingan serta pengkomersilan inovator penjagaan kesihatan.
Ujar beliau, pemenang akan menerima bimbingan, sokongan pembangunan perniagaan dan akses kepada Pusat Penyelidikan & Inovasi KPJ (KPJRIC).
"Mereka juga berpeluang memenangi sebahagian daripada hadiah keseluruhan yang berjumlah RM136,000 termasuklah hadiah utama bagi juara sebanyak RM35,000 bagi kategori Terbuka dan RM10,000 untuk kategori Pelajar Universiti atau Kolej.
"Pertandingan ini terbuka kepada kakitangan KPJ, profesional penjagaan kesihatan, pelajar universiti, penyelidik dan syarikat rintisan di Malaysia.
"Penyerahan kertas kerja akan diterima dari 1 Mac sehingga 30 September 2025, diikuti dengan sesi pembentangan pada bulan Oktober dan pengumuman finalis pada bulan November. Acara kemuncak akan berlangsung di MIH Megatrends 2025 pada 25 November 2025,” ulasnya.
Sementara itu, Chin berkata, K.R.A.F.T. 2025 direka untuk menyemarakkan kreativiti, menolak sempadan dan memacu perubahan bermakna dalam penyampaian penjagaan kesihatan.
Jelasnya, menerusi inisiatif itu, KPJ Healthcare dapat mencipta impak positif dan membentuk ekosistem penjagaan kesihatan pada masa hadapan.
"Cabaran K.R.A.F.T. 2025 ini penting untuk kita mencari penyelesaian dengan impak sebenar dalam bidang seperti Kecemerlangan Klinikal, Penjagaan Pesakit, Kecekapan Operasi, Kelestarian dalam Penjagaan Kesihatan dan Teknologi dan Pendigitalan.
"Saya menggesa setiap hospital untuk mengambil bahagian, memupuk inovasi dalam pasukan mereka dan memacu KPJ ke hadapan sebagai peneraju dalam transformasi penjagaan kesihatan,” katanya.
INFO MENARIK CABARAN K.R.A.F.T 2025
HADIAH KATEGORI TERBUKA
Tempat pertama- RM35,000
Tempat kedua- RM20,000
Tempat ketiga-RM10,000
5 hadiah sagu hati- RM5,000 setiap seorang
3 Anugerah Khas Juri - RM3,000 setiap seorang
KATEGORI UNIVERSITI/ KOLEJ
Tempat pertama-RM10,000
Tempat kedua-RM7,000
Tempat ketiga- RM5,000
5 hadiah sagu hati - RM2,000 setiap seorang
BAGAIMANA NAK SERTAI CABARAN K.R.A.F.T. 2025?
Panduan penghantaran:
Setiap pasukan perlu menghantar kertas kerja mengikut kategori.
Isi kandungan kertas kerja:
1. Tajuk
2. Objektif
3. Metodologi
4. Jangkaan hasil kajian
5. Perlu bersesuaian dengan teras Sistem Kesihatan KPJ iaitu We Heal, We Teach and We Discover.
Semua penghantaran kertas kerja perlu ditulis dalam Bahasa Inggeris dan mematuhi format serta templat yang
ditetapkan.
Projek mesti dihantar sebelum 30 September 2025, sila layari https://www.kpjhealth.com.my/innovationcampaign
untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K.R.A.F.T Challenge.
Penyerahan semula kertas kerja hanya dibenarkan jika penambahbaikan yang ketara atau maklumat tambahan telah dimasukkan.