KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pelaburan berasaskan kenaf, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan anaknya selaku pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, masing-masing atas dua pertuduhan kerana mengeluarkan iklan skim dana pembangunan kenaf yang tidak berdaftar antara 2021 hingga 2023.
CEO Kenaf Trading Global Sdn Bhd, Jazman Shahar Abdollah, 53, dan Irfan Hadi, 28, yang turut mewakili syarikat berkenaan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut dua pertuduhan, mereka didakwa mengeluarkan iklan yang secara tidak langsung membawa mana-mana individu menjadi peserta dalam skim ‘Kenaf Development Fund’ yang tidak didaftarkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah syarikat di Jalan Stesen Sentral 5, di sini, antara September 2021 hingga Ogos 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(2)(a) Akta Skim Kepentingan 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Jazman Shahar turut didakwa atas dua lagi pertuduhan kerana terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat sedangkan dia berstatus bankrap. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah syarikat di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 198(1)(a) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 198(7) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nurul 'Ain Shafie, mencadangkan agar dua beranak terbabit diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan.
"Ia termasuk syarat tambahan untuk melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Zahidah Md Zaman, yang mewakili semua tertuduh, merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar lebih rendah.
Menurutnya, Irfan Hadi tidak mempunyai pendapatan tetap, manakala bapanya kini bekerja sebagai akauntan.
"Jazman Shahar menggunakan pendapatannya untuk merawat isterinya yang mempunyai masalah mental,” katanya.
Selepas mendengar permohonan semua pihak, Hakim Azrul membenarkan Jazman Shahar diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM40,000, manakala Irfan Hadi RM20,000, termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 15 April depan untuk sebutan kes.