KERAP kali kita diingatkan untuk bangun bersahur sebelum mula berpuasa kerana ada keberkatan pada waktu tersebut.
Kebanyakan daripada kita hanya memikirkan tujuan bersahur itu adalah supaya kita kekal bertenaga dan tidak terlalu lapar apabila menyempurnakan Rukun Islam Islam keempat berkenaan.
Hakikatnya, kelebihan dan hikmah bersahur terlalu besar hinggakan Rasulullah SAW menggalakkan kita untuk melakukan sunnah tersebut.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis sahih yang mana Rasulullah SAW bersabda:"Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, Al-Imam Ibnu Daqiq Al-Aid ketika menghuraikan hadis itu menyatakan bahawa keberkatan sahur itu boleh dibahagikan kepada dua aspek.
Dari aspek duniawi, jelas beliau, sahur berupaya memberikan tenaga persiapan untuk orang berpuasa dan mempermudahkan urusan tubuh tanpa menggugat orang yang melakukan ibadah berkenaan.
"Sementara itu, dari sudut akidah, sahur pada hakikatnya memberikan jati diri yang jelas buat Muslim kerana ia membezakan antara puasa kita dengan agama lain.
"Seperkara lagi, sahur juga sebenarnya menjemput doa para malaikat sebagaimana yang disebutkan dalam hadis masyhur riwayat Imam Ahmad,” katanya dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
"Maka apakah keberkatan yang lebih dicari berbanding reda ALLAH sendiri?” soalnya.
Bukan itu sahaja, ahli akademik itu menjelaskan, Al-Imam Ibnu Rajab turut menukilkan beberapa perkara yang menunjukkan keberkatan sahur.
"Antaranya adalah persiapan jiwa kita untuk bangun awal beribadah, selain mempersiapkan diri untuk solat Subuh berjemaah yang di dalamnya terkandung pahala tidak terhitung,” katanya.
Lantaran itu, Dr Ahmad Sanusi mengajak umat supaya sedar bahawa bersahur bukan sekadar makan dan minum, tetapi juga merupakan persiapan diri untuk menyempurnakan ibadah puasa.
"Ibadah itulah yang ALLAH khususkan buat diri-NYA seperti yang disebutkan dalam hadis,” ungkapnya.
Barangkali ramai tidak perasan, waktu sahur ialah satu pertiga malam yang terakhir.
Ujar pensyarah itu, bangun sahur juga memberikan peluang kepada Muslim untuk bertemu dengan satu pertiga akhir malam iaitu waktu yang mudah doa seseorang dimakbulkan.
Rasulullah SAW bersabda:"ALLAH SWT turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir di atas setiap malam lantas berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-KU, maka akan AKU jawab doanya, sesiapa yang meminta kepada-KU, maka akan AKU kabulkan permintaannya dan sesiapa yang memohon ampunan kepada-KU, maka akan AKU ampuni dia.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
"Mengertilah, mereka yang tidak bersahur tergolong sebagai kelompok yang rugi kerana tidak mendapat doa daripada ALLAH dan para malaikat,” katanya.