KOTA BHARU - Kanser bukan pengakhiran hidup sebaliknya tanda kasih sayang ALLAH yang memberi peluang kepada mereka yang terpilih dalam meraih rahmat-Nya untuk bekalan akhirat.
Demikian menurut Fadhilahanim Aryani Abdullah, 45, yang kini berjuang melawan penyakit kanser payudara tahap empat selepas didiagnosis menghidap penyakit itu sejak 2017 pada usia 37 tahun.
Pensyarah bidang keusahawanan itu berkata, sejak awal mengesan ketulan pada payudara, hatinya tergerak untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan tidak menafikan tanda-tanda yang muncul.
"Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena.
"Saya bertemu dengan doktor pakar tanpa berlengah dan Alhamdulillah, ALLAH susun perjalanan saya bertemu dengan orang yang tepat dalam proses rawatan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujarnya, perjalanan melawan penyakit itu bukan mudah, terutama apabila pada tahun 2023, kanser tersebut merebak ke tulang sehingga menyebabkan tulangnya reput dan perlu diganti dengan besi.
Fadhilahanim Aryani terlantar selama enam bulan namun tetap bersyukur kerana diberikan ruang dan masa untuk menghadapi ujian dengan tenang serta membuat persiapan dari sudut fizikal, mental dan spiritual.
"Saya juga sudah menjalani pembedahan payudara. ALLAH ambil sedikit demi sedikit.
"Saya sempat bersedia berbanding mereka yang meninggal dunia secara mengejut, itu satu hikmah,” katanya.
Berkongsi cabaran yang dihadapi, jelasnya, rawatan penyakit kanser sangat mahal, dengan kos kemoterapi sahaja mencecah RM500,000.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana mendapat perlindungan insurans selain bantuan rawatan dari hospital kerajaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II yang mempunyai kepakaran terbaik dalam bidang onkologi.
Dalam masa yang sama, sokongan suami dan anak-anak menjadi tunjang utama dalam perjuangan melawan penyakit ini.
"Sistem sokongan keluarga ini sangat penting kerana pesakit kanser bukan hanya memerlukan ubat tetapi juga kekuatan emosi dan motivasi,” katanya.
Meskipun diuji dengan kesakitan, Fadhilahanim Aryani tidak pernah putus asa dalam memenuhi impian menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Beliau berkongsi pengalaman menunaikan umrah sebanyak tiga kali dan haji pada tahun ini dengan status orang kurang upaya (OKU), yang memberikan pengalaman berbeza.
"Makkah sangat mesra OKU, dengan status ini, saya mendapat kemudahan seperti penerbangan kelas perniagaan melalui Tabung Haji dan tidak perlu bersesak di tempat tumpuan,” ujarnya.
Menganggap penyakit ini sebagai cara ALLAH mendidik jiwa, katanya, setiap detik yang masih diberikan adalah peluang untuk meraih bekalan ke akhirat.
"Bila kita reda, kita tidak akan bertanya ‘kenapa aku?’.
"Sebaliknya, kita akan nampak betapa banyaknya nikmat ALLAH sebelum ini, maka, masa yang tinggal ini saya gunakan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH,” kongsinya.
Beliau berpegang teguh kepada amalan seperti solat tahajud dan sedekah yang menjadi penguat semangat dalam menghadapi kesakitan.
"Ujian ini bukan beban, tetapi satu peringatan untuk kita lebih bersedia sebelum kembali kepada-Nya,” ujarnya.