PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Setiap keputusan penting yang dibuat kerajaan perlu disampaikan secara jelas kepada rakyat terutamanya penjawat awam.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu perlu diberi tumpuan tidak hanya dalam mesyuarat peringkat tertinggi sebuah kementerian tetapi juga ke akar umbi.
"Saya tegur minggu lalu dalam mesyuarat pasca Kabinet adalah kadang-kadang keputusan ini tidak sampai ke bawah.
"Jadi di bawah itu ada keresahan," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin.
Sebagai contoh, beliau berkata, penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat minggu ini harus diteliti oleh semua penjawat awam.
"Saya minta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sampaikan dan saya percaya sudah pun dimaklumkan tetapi kalau boleh dihebahkan lagi," katanya.
Ujar Anwar, menerusi reformasi institusi, kerajaan bertekad untuk melaksanakan perubahan seperti memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) walaupun pelaksanaan akta berkenaan bukan mudah.
"Jika sasaran ini tidak dicapai, ia mesti dibentangkan semula untuk dibahaskan di Parlimen.
"Tidak semua negara berani melaksanakan kaedah ini kerana ia memerlukan tekad politik yang tinggi," katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan akan membentangkan RUU Akta Perolehan Kerajaan sebagai langkah untuk memastikan proses tender dan perolehan dipatuhi secara konsisten, tanpa mengira tampuk pimpinan.
"Esok (Selasa), insya-ALLAH, kita akan membentangkan pindaan kepada Akta Perkhidmatan Parlimen bertujuan memastikan pengurusan dan pentadbiran Parlimen bebas daripada perkhidmatan kerajaan.
"Parlimen harus menjadi simbol kebebasan bersuara bagi ahli-ahli Parlimen tanpa terlalu terikat dengan birokrasi perkhidmatan awam.
"Sudah tentu, pindaan ini memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen, tetapi saya percaya reformasi ini akan membawa perubahan besar kepada sistem demokrasi," katanya.