Sagu hati setimpal kualiti dan kepakaran - Imam Besar Masjid Negeri

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin berhubung pemilihan golongan muda termasuk pelajar tahfiz sebagai imam solat tarawih terus menjadi trend pada Ramadan tahun ini apabila ada masjid dan surau sanggup mengeluarkan belanja lima angka untuk perkhidmatan mereka.

KUANTAN – Bayaran sagu hati kepada imam solat tarawih sepanjang Ramadan tahun ini adalah setimpal dengan kepakaran dan pengalaman mereka.

Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah bayaran tersebut kepada umum.

Iklan
Iklan

Namun, beliau menegaskan, imam yang dipilih mesti mampu mengekalkan standard bacaan berkualiti tinggi sepanjang solat sunat itu berlangsung.

"Kadar bayaran ini tidak perlu disebut, tetapi sekadar makluman, ia berpatutan dan sesuai dengan kelayakan dan pengalaman mereka.

Iklan

"Setakat ini kami tidak pernah berdepan isu bayaran tidak setimpal. Tahun ini terdapat sedikit peningkatan sagu hati berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mohd Rizzal memaklumkan seramai 24 orang imam dipilih bagi memimpin solat tarawih sepanjang Ramadan dan kesemua mereka merupakan anak tempatan di Pahang.

Iklan

Menurutnya, pemilihan imam bukan sahaja berdasarkan kelayakan sebagai hafiz al-Quran, tetapi turut mengambil kira pengalaman dan penglibatan mereka dalam pertandingan tilawah di peringkat daerah, negeri serta kebangsaan.

"Kita tidak ambil imam dari luar negara kerana di Pahang sendiri sudah ramai qari dan hafiz berkualiti.

"Mereka bukan sahaja kuasai bacaan qiraat, tetapi juga berpengalaman menjadi imam di pelbagai tempat,” katanya.

Beliau menambah, pemilihan imam dalam jumlah besar membolehkan jemaah menikmati kepelbagaian dalam bacaan qiraat, selain menonjolkan kebolehan anak tempatan dalam bidang al-Quran.

"Imam dipilih perlu memiliki suara yang merdu, menguasai selok-belok bacaan al-Quran serta mahir dalam pelbagai qiraat.

"Ini memastikan bacaan mereka menjadi ‘halwa telinga’ kepada jemaah sepanjang Ramadan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Rizzal berkata, bayaran sagu hati imam diperuntukkan daripada Tabung Ihya Ramadan yang turut digunakan untuk membiayai pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan suci ini.