Beras putih tempatan masih tiada di pasaran

Iklan
Peniaga mendakwa, buat masa ini hanya beras import dan beberapa jenama tempatan yang dijual pada harga agak tinggi boleh didapati di pasaran.

JOHOR BAHRU - Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya besar sekitar Johor Bahru mendapati beras putih tempatan pada harga kawalan RM2.60 sekilogram masih belum tersedia di pasaran.

Hasil tinjauan di empat kedai runcit dan empat pasar raya utama, di sini mendapati pengguna kecewa dengan situasi berkenaan kerana sudah dua hari mencari stok beras berkenaan.

Iklan
Iklan

Seorang pekerja pasar raya yang hanya mahu dikenali sebagai Priyanka berkata, setakat ini mereka belum menerima stok beras bersubsidi seperti yang diumumkan kerajaan.

"Memang ada ramai pelanggan bertanyakan tentang beras RM2.60 sekilogram, tetapi setakat ini belum ada bekalan masuk.

Iklan

"Buat masa ini, hanya beras import dan beberapa jenama tempatan yang dijual pada harga agak tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Seorang pengguna, Mohd Faiz, 38, yang ditemui di sebuah pasar raya di Tebrau meluahkan kekecewaannya selepas gagal mendapatkan beras pada harga subsidi.

Iklan

"Saya sudah pergi beberapa kedai dan pasar raya sejak semalam (Sabtu) sekitar Pasir Gudang dan Kota Tinggi, hari ini (Ahad) datang sini pula tapi masih belum ada beras RM2.60 sekilogram itu.

"Saya kecewa dengan situasi ini, kasihan juga kepada pengguna B40 yang terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membeli beras import berharga RM40 ke atas,” ujarnya.

Pekerja swasta, Putri Syahmina Damia Mohamad Nazli, 24, berkata, kelewatan ini menimbulkan tanda tanya sama ada bekalan benar-benar mencukupi atau sekadar pengumuman di atas kertas.

"Bila kerajaan umum beras murah, kami rasa lega. Tapi kalau stok tak ada, macam mana kami nak beli? Harap kerajaan pantau dan pastikan beras ini sampai kepada rakyat dengan segera,” katanya.


Peniaga tunggu bekalan

JEMPOL- Bekalan beras putih tempatan (BPT) masih belum dijual setakat ini kerana sukar diperoleh.

Tinjauan Sinar Harian pada Ahad di beberapa lokasi termasuk kedai runcit di sini mendapati kebanyakannya menjual beras import.

Seorang peniaga kedai runcit yang ditemui mendakwa, sudah lama BPT tidak dijual di kedainya dan tidak pasti bila bekalan tersebut akan masuk semula.

"Ramai pelanggan tanya sebab harga yang ditawarkan murah bagaimanapun saya terpaksa ambil stok beras import sebab ia lebih mudah diperoleh,” katanya.

Seorang lagi peniaga turut mengakui perkara sama namun masih berharap stok beras itu dapat diperoleh segera.

"Kami sebagai peniaga tertunggu- tunggu juga tetapi stok tak ada, nak buat macam mana. Kita jual stok beras mana yang ada sahajalah,” katanya.

Peniaga, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 33, lega apabila kerajaan memaklumkan bahawa BPT akan ada dalam pasaran namun setakat ini ia sukar diperoleh.

"Kalau ada stok beras itu murah sikit tambahan kita ada perbelanjaan lain untuk digunakan, boleh jimat di situ,” katanya.