Khidmat jurusolek stesen kereta api raih perhatian warganet

Iklan
Qiqi menawarkan perkhidmatan solekan di sebuah stesen kereta api bawah tanah. - Agensi

CHONGQING – Seorang wanita berjaya meraih sekitar RM183 atau 300 yuan dalam masa dua jam selepas menawarkan perkhidmatan solekan di sebuah stesen kereta api bawah tanah.

Deng Qiqi, 28, memulakan perniagaan itu pada 14 Februari lalu bagi mereka yang dalam perjalanan untuk menghadiri majlis tertentu atau janji temu.

Iklan
Iklan

"Saya hanya beroperasi pada hari bekerja dari jam 5 petang hingga 7.30 malam di Stesen Kereta Api Bawah Tanah Shapingba dan tidak membuka gerai pada hujung minggu bagi mengelakkan kesesakan.

"Saya tidak menerima tempahan awal dan pernah memperoleh keuntungan sebanyak RM183 dengan menyolek tiga hingga empat orang pelanggan dalam masa dua jam,” katanya.

Iklan

Qiqi yang memiliki sebuah studio solekan berkata, idea membuka gerai di stesen kereta api bawah tanah tercetus apabila dia melihat ramai peniaga menjual pelbagai produk di kawasan tersebut.

"Ramai wanita bersolek ke tempat kerja namun solekan itu pudar menjelang petang, menyebabkan mereka memerlukan sentuhan semula sebelum janji temu," ujarnya.

Iklan

Qiqi bagaimanapun hanya menawarkan solekan ringkas di stesen kereta api berkenaan dan mereka yang mahukan hasil lebih profesional boleh mendapatkan perkhidmatannya di studio.

Sementara itu, pihak pengurusan kereta api bawah tanah di Chongqing membenarkan aktiviti jualan di premis mereka dengan kadar sewa sebanyak RM49 atau 80 yuan sehari dan RM18 bagi waktu puncak.

Biarpun beberapa kawasan di China membenarkan rakyatnya berniaga di stesen kereta api, Shanghai merupakan salah sebuah wilayah yang melarang aktiviti seperti itu bagi menjaga kawalan pergerakan orang ramai.

Di media sosial, perniagaan Qiqi rata-rata meraih pujian warganet yang menganggap idea tersebut sebagai bernas dan memudahkan golongan wanita.

"Ia sangat praktikal. Kini, saya tidak perlu risau menghadiri majlis tanpa solekan," kata seorang pengguna media sosial.

Tidak kurang juga, ada yang bimbang perniagaan itu akan mengganggu aliran trafik penumpang di stesen kereta api.

"Saya berharap perniagaan ini tidak menjejaskan kelancaran aliran orang ramai di stesen," kata seorang warganet. - Agensi