KUANTAN - Biarpun hanya menjalankan perniagaan jahitan dari rumah, namun hasil tangan seorang ibu kepada tujuh anak ini tetap mendapat kepercayaan pelanggan apabila menerima tempahan sebanyak 10 pasang baju raya daripada seorang pelanggan.
Hasnuriza Hasbullah, 48, berkata, tempahan tersebut merupakan antara yang terbesar diterimanya tahun ini.
"Selalunya, seorang pelanggan menghantar lima hingga enam pasang baju sahaja, tetapi kali ini jumlahnya meningkat sehingga 10 pasang. Saya sendiri tidak sangka, namun tetap berusaha memenuhi permintaan tersebut.
"Sudah tentu saya gembira kerana ini membuktikan pelanggan berpuas hati dengan hasil jahitan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Putra, Tanjung Lumpur, di sini, pada Sabtu.
Hasnuriza yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang jahitan berkata, sebelum ini, dia mampu menyiapkan sehingga 200 pasang baju dalam tempoh dua bulan.
Ujarnya, namun terpaksa menghadkan jumlah tempahan bagi memastikan kualiti jahitan terjaga, selain beberapa faktor lain.
"Jika ikutkan permintaan memang tinggi, tetapi saya hadkan. Tahun ini, saya hanya menerima sekitar 70 hingga 80 pasang sahaja.
"Saya rasa tidak berapa larat kerana anak-anak masih kecil dan bersekolah. Jadi, agak sukar untuk mengambil tempahan dalam jumlah yang banyak," ujarnya yang sudah menutup tempahan baju raya sejak sebulan lalu.
Bercerita lanjut, Hasnuriza memberitahu, bulan Ramadan adalah tempoh paling sibuk kerana jumlah tempahan meningkat berbanding bulan-bulan biasa.
Katanya, pada bulan biasa, dia hanya mampu menyiapkan sekitar 30 hingga 40 pasang sebulan, tetapi menjelang musim perayaan, pendapatannya meningkat dengan ketara.
"Kalau bulan biasa, saya hanya mampu menyiapkan sepasang baju sehari, dengan pendapatan sekitar RM1,000 lebih. Tapi pada bulan puasa, jumlah tempahan bertambah dan banyak sedikit dapat," katanya.
Bagaimanapun, Hasnuriza mengakui cabaran tetap ada, termasuk berdepan dengan pelanggan yang cerewet atau tidak berpuas hati dengan jahitan dihasilkan.
"Ada pelanggan tidak puas hati, itu perkara biasa. Kalau ukuran tidak kena dengan badan, saya akan betulkan sehingga mereka berpuas hati," jelasnya.
Bagi memastikan kualiti jahitan terjaga, Hasnuriza memberitahu dia hanya menyiapkan dua pasang baju sehari dan tidak mengambil pekerja.
"Sekarang semuanya saya lakukan sendiri. Saya lebih mengutamakan kualiti daripada kuantiti kerana bimbang jika mengambil terlalu banyak tempahan, hasil jahitan tidak kemas," tambahnya.
Walaupun persaingan dengan pakaian siap pakai semakin meningkat, Hasnuriza yakin bahawa tukang jahit tempahan tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan lebih selesa dengan pakaian yang ditempah khas kerana ia mengikut bentuk badan mereka.
"Jika beli secara dalam talian, kadang-kadang saiznya tidak sesuai, tapi jika ditempah, pelanggan boleh memilih ukuran yang tepat dan hasilnya lebih memuaskan," katanya.