JIKA diselak lembaran perjalanan aktres ini dalam bidang seni, pasti dapat dilihat pelbagai onak ranjau, pahit manis bergelar selebriti.
Namun dalam kepahitan baik dari segi karier mahupun kehidupan peribadi, pemilik nama penuh Nora Mohd Danish Hanif itu mendapat kemanisan yang paling tinggi apabila diberi kesempatan untuk belajar mengenali dan mencintai ALLAH SWT dan Rasul.
Bagi Nora, penghijrahannya bukan sekadar perubahan luaran, tetapi satu perjalanan mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.
Akui wanita berusia 42 tahun itu, bukan mudah untuk kekal istiqamah dalam segala kebaikan yang dilakukan, namun beliau sentiasa berdoa agar dicekalkan hati untuk terus berada di laluan yang benar.
"Istiqamah ini bukan hanya mengenai bertudung, tetapi untuk pastikan kita sentiasa solat di awal waktu dan membiasakan diri dengan zikir.
"Jadi saya sentiasa berdoa agar ALLAH kekalkan rasa sayu dan keinsafan dalam diri. Saya juga selalu berdoa agar dikelilingi orang yang baik supaya sentiasa mengingatkan saya jika tersasar," ujarnya.
Tambah Nora, sejak awal lagi, dirinya mengamalkan doa yang diajar oleh Nabi Daud a.s iaitu doa memohon cinta ALLAH SWT.
"Antara maksud doa itu ialah, Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu dan amal yang dapat menyampaikanku untuk mencintai-Mu. Ya ALLAH, jadikanlah cinta kepada-Mu melebihi cintaku terhadap diriku sendiri, keluarga dan air yang dingin.
"Doa itu sangat berkesan dengan hidup saya. Bila kita nak dekatkan diri dengan mencintai ALLAH, kita akan jumpa dengan orang yang ada tujuan sama. Alhamdulillah setakat ini kawan-kawan semua ada tujuan sama," katanya lagi.
Ditanya mengenai pandangan skeptikal orang luar yang mungkin melihat beliau berlebih-lebihan dalam berkongsi mengenai hal agama di media sosial, pelakon yang mula dikenali menerusi siri Puteri itu melihat ia dari sudut yang positif.
Nora tidak menafikan bimbang dengan pandangan orang lain, tetapi menetapkan fikiranya pada satu perkara.
"Saya fikir satu sahaja, setiap perkongsian yang saya buat itu kerana ALLAH gerakkan hati saya untuk berbuat begitu dan semua hantaran itu saya buat kerana ALLAH SWT.
"Kalau saya fikir kerana orang atau apa orang akan cakap, saya pasti akan sedih. Bila buat kerana ALLAH, saya tidak sedih dan paling penting, perkongsian itu juga adalah untuk diri saya sendiri," jelasnya.
Nora berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi raya oleh Amber di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Ramadan
Berkongsi mengenai Ramadan tahun ini, selain berpuasa dan menjalankan ibadah seperti biasa, Nora turut meluangkan masa bersama beberapa ustaz dan pelajar untuk bertadarus Al-Quran.
"Harapnya kami dapat khatam dalam tempoh 15 hari Ramadan. Selebihnya saya mahu meluangkan masa bermasa keluarga.
"Saya juga mahu menasihati orang ramai supaya lebih memberi tumpuan kepada Ramadan daripada menyambut raya. Jika boleh, hias rumah dan beli pakaian baharu untuk Ramadan, bukan hanya untuk Syawal," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pengalaman menunaikan umrah kali ketiga baru-baru ini, Nora memberitahu dapat pengalaman yang lebih berharga.
Menurutnya, perasaan ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci sangat berbeza apabila niat utamanya adalah mencari cinta ALLAH.
"Dulu, ketika tawaf, saya rasa sesak dengan lautan manusia. Tapi kali ini, saya rasa lebih tenang kerana sedar bahawa semua yang berhimpit di situ mempunyai tujuan yang sama, iaitu mencari reda ALLAH," katanya yang berhasrat memperbanyakkan lagi aktiviti keagamaan di rumah baharunya selepas ini.