‘Jangan lagi bicara soal tukar kerajaan, taktik itu taktik ini’ - Marzuki

Iklan
Datuk Dr Marzuki Mohamad.

SHAH ALAM - Semua pihak diminta untuk tidak lagi membicarakan soal usaha menukar kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berlaku.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri menitahkan supaya pihak terlibat menghormati proses dan undang-undang ditetapkan serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan berhubung Titah Adendum.

Iklan
Iklan

"Jangan lagi bicara soal tukar kerajaan sebelum pilihan raya. Strategi itu, strategi ini... Taktik itu, taktik ini kononnya dapat isyarat.

"Kononnya Titah Adendum jadi sebab kerajaan bertukar. Berhentilah, sudah-sudahlah Raja pun telah bertitah.

Iklan

"Pentas tukar kerajaan adalah dalam PRU, kerajaan buat kerja kerajaan, yang pembangkang buat kerja pembangkang. Dalam pilihan raya nanti rakyat tentukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, spekulasi mengenai usaha blok pembangkang untuk menukar kerajaan sebelum PRU16 masih terus diperkatakan.

Iklan

Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini menitahkan bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan mesti dihormati, bahkan baginda juga tidak akan melayan sebarang cubaan untuk menggugat kestabilan politik negara.

Malah, ada yang mengaitkan bahawa kontroversi Titah Adendum mampu menyebabkan kerajaan bertukar tampuk pemerintahan.

Al-Sultan Abdullah ketika Majlis Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang pada Khamis menyeru semua pihak supaya menghormati proses perundangan mengenai Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah baginda, semua pihak diminta berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling hormat-menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Terbaharu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memberitahu, kerajaan menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah dan meminta orang ramai untuk tidak membahas perkara tersebut selepas ini.