Lori dipandu warga asing rempuh 14 kenderaan di hadapan sekolah

Iklan
Salah sebuah kenderaan remuk akibat dirempuh lori di Jalan Duvanson berhadapan SK Tansau, Putatan.

PUTATAN - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 14 kenderaan rosak selepas dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Duvanson berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, seorang pemandu salah sebuah kenderaan yang dilanggar mengalami kecederaan ringan dan telah dirawat di hospital.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Putatan, Superintenden Sammy Newton berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori dan 14 kenderaan lain termasuk pacuan empat roda serta motosikal yang berada berhampiran sekolah tersebut.

Antara kenderaan yang rosak akibat dirempuh lori hilang kawalan di Jalan Duvanson berhadapan SK Tansau, Putatan.

"Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 56 tahun dipercayai telah hilang kawalan hingga melanggar 14 kenderaan lain yang diletakkan di tepi jalan kiri dan kanan serta bahu jalan di hadapan sekolah.

Iklan

"Akibat kemalangan itu, seorang pemandu berusia 40-an cedera dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kemalangan melibatkan sebuah lori dan 14 kenderaan lain di Jalan Duvanson berhadapan SK Tansau, Putatan.

Susulan kejadian itu, Sammy berkata, pemandu lori yang juga warga asing telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan selanjutnya.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Azmi Adamb," katanya.

Kemalangan mengakibatkan seorang pemandu salah sebuah kenderaan yang dilanggar mengalami kecederaan ringan.

Sammy dalam pada itu turut meminta orang ramai tidak menyebarkan sebarang imej atau video di lokasi kejadian menerusi rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Sebelum ini, tular video memaparkan kejadian sebuah lori merempuh beberapa kenderaan sehingga remuk di kawasan tersebut.

Ketika kejadian, ibu bapa sedang menunggu anak masing-masing keluar dari sekolah susulan waktu sesi persekolahan yang hampir tamat.