JAKARTA - Harga bahan api kembali menjadi topik hangat susulan dakwaan rasuah membabitkan PT Pertamina Patra Niaga yang dikatakan mencampurkan minyak Pertamax (RON 92) dengan Pertalite (RON 90).
Situasi itu menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia yang berasa tertipu, sekali gus mendorong mereka untuk mempertimbangkan alternatif lain bagi mendapatkan bahan api.
Siasatan Tempo mendapati harga bahan api di Malaysia jauh lebih rendah berbanding di Indonesia.
Berdasarkan laman rasmi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), harga minyak bagi tempoh 27 Februari hingga 5 Mac 2025 adalah seperti berikut:
Primax RON 95 dijual pada harga RM2.05 seliter atau kira-kira Rp7,500, Primax RON 97 dijual pada harga RM3.43 seliter atau kira-kira Rp12,680.
Selain itu, Diesel Euro 5-B10/B20 dijual pada harga RM3.18 seliter atau kira-kira Rp11,750, sementara Diesel Euro 5-B7 dijual pada harga RM3.38 seliter atau kira-kira Rp12,490.
Sebaliknya, harga bahan api di Indonesia yang dikeluarkan syarikat minyak milik negara, PT Pertamina (Persero), jauh lebih tinggi.
Harga bagi Februari 2025 menunjukkan Pertamax (RON 92) dijual pada harga Rp12,900 seliter (RM3.47), Pertamax Turbo (RON 98) Rp14,000 seliter (RM3.77), Dexlite Rp14,600 seliter (RM3.93), Pertamina Dex Rp14,800 seliter (RM3.98), dan Pertalite Rp10,000 seliter (RM2.69).
Menurut Tempo Data Science, perbezaan ketara dalam harga minyak ini berpunca daripada dasar subsidi kerajaan, seperti yang diamalkan di beberapa negara lain termasuk Iran dan Rusia.
Data juga menunjukkan harga minyak dengan nilai oktana 95 di Indonesia adalah AS$0.79 (RM3.53) atau Rp13,000 seliter, jauh lebih mahal berbanding Malaysia yang menawarkan minyak pada harga AS$0.46 (RM2.05) atau Rp7,500 seliter. - Agensi