PAPAR - Sebutir lagi bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui di lokasi sama di tapak pembinaan berhampiran sebuah kilang di Kinarut, di sini, selepas penemuan pertama pada Selasa lalu.
Bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial itu ditemukan oleh pekerja pembinaan ketika kerja mengorek tanah dilakukan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, penemuan bahan letupan itu adalah yang kedua selepas sehari operasi memusnahkan bom yang ditemui pada Selasa lalu.
"Pegawai penyiasat bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis (IPD) Papar telah ke lokasi dan mengesahkan bahawa ia adalah bom jenis yang sama ditemui pada Selasa lalu.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati bom itu masih aktif dan memerlukan kita mengambil tindakan drastik memusnahkannya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat.
Kamaruddin berkata, tindakan untuk memusnahkan bom itu akan dilakukan dalam masa terdekat selepas perbincangan diadakan bersama pihak berkepentingan lain sebagai langkah keselamatan dan ketenteraman orang awam.
"Kita akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu di peringkat daerah dengan memanggil agensi-agensi yang terlibat untuk kita selaraskan kerja melupuskan bom ini kerana kita tidak mahu mengganggu ketenteraman awam dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda," katanya.
Beliau berkata, hebahan akan dibuat kepada orang ramai terutama penduduk yang berada di radius satu kilometer dari jarak lokasi bom itu ditemui.
"Begitu juga pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kita maklumkan supaya mereka menghentikan sementara waktu operasi bagi membolehkan kita melakukan proses memusnahkan bom ini," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan penemuan bom jenis UXO di tapak pembinaan ketika kerja mengorek tanah dilakukan menggunakan jentera pengorek.
Bom itu berjaya diletupkan pada keesokan harinya dan gegaran turut dirasai oleh penduduk di sekitar Kinarut.