253 kes konflik gajah dan manusia direkodkan di Johor

Iklan
Mesyuarat penyelarasan bersama agensi kerajaan dan 37 wakil daripada ladang-ladang di negeri Johor berkenaan konflik gajah dan manusia. - Foto FB Ling Tian Soon

JOHOR BAHRU – Sebanyak 253 kes konflik antara manusia dan gajah direkodkan di Johor sepanjang tahun lalu, dengan anggaran kerugian mencecah RM1.1 juta.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, tiga daerah mencatatkan kes tertinggi ialah Kluang, Kota Tinggi, dan Mersing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, konflik antara gajah dan manusia semakin kerap berlaku di negeri ini terutama pencerobohan kawasan penempatan serta ladang pertanian.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah membentangkan data pergerakan gajah di Johor yang diperoleh melalui pemantauan satelit.

Iklan

"Berdasarkan data tersebut, sebanyak 21 lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan yang sesuai untuk mewujudkan bank makanan atau ‘foodbank gajah’," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Tian Soon mempengerusikan mesyuarat penyelarasan yang dihadiri oleh wakil daripada Perhilitan Johor, Perbadanan Taman Negara Johor, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta 37 wakil daripada ladang-ladang di negeri Johor.

Iklan

Sebanyak 253 kes konflik antara manusia dan gajah direkodkan di Johor sepanjang tahun lalu, dengan anggaran kerugian mencecah RM1.1 juta. Gambar hiasan.

Menurut Tian Soon, 21 lokasi yang sesuai untuk dijadikan ‘bank makanan gajah’ terletak di sempadan antara ladang dan hutan.

Jelasnya, pemilik ladang yang terlibat telah dimaklumkan dan digalakkan bekerjasama dalam program ini bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan akibat gajah.

"Bagi pemilik ladang lain yang turut bersempadan dengan hutan tetapi tidak tersenarai dalam 21 lokasi tersebut, mereka juga digalakkan menubuhkan foodbank gajah secara sukarela dengan penyelarasan Perhilitan.

"Langkah ini bertujuan mengurangkan kejadian gajah keluar dari habitat asal dan merosakkan tanaman.

"Ia juga sebahagian daripada inisiatif mitigasi untuk mengelakkan konflik yang boleh mengancam harta benda serta nyawa manusia,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pemilik ladang diberikan tempoh selama satu bulan untuk membawa cadangan ini kepada pengurusan tertinggi syarikat masing-masing bagi mendapatkan kelulusan dan dana bagi pelaksanaannya.

Pada 26 September tahun lalu, seorang pekerja pembersihan kontrak maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dipijak gajah di kawasan hutan kecil berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5, Mersing.

Susulan insiden tersebut, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor telah memulakan operasi menangkap gajah berkenaan serta melaksanakan kawalan dan pemantauan berterusan di kawasan Felda Tenggaroh 5 untuk memastikan keselamatan penduduk setempat.