Pemandu teksi, tekong didakwa seludup migran warga Indonesia

Iklan
Lima pemandu teksi dan empat tekong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan menyeludup warga Indonesia di Bagan Datuk, awal Februari lalu.

TELUK INTAN - Lima pemandu teksi dan empat tekong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan menyeludup warga Indonesia di Bagan Datuk, awal Februari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Gan Peng Kun.

Iklan
Iklan

Tertuduh, Sulaiman Dodi, 25; Rudy Hartuno, 35; Ahmad, 38, dan Ahmadani, 28, tekong warga Indonesia didakwa

melakukan penyeludupan terhadap 41 migran di Pantai Sungai Tiang, Rungkup dalam daerah Bagan Datuk sekitar jam 4.30 pagi pada 2 Februari 2025.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Sharmeen Zaizan manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, M Logannadan, 35; A Nagenderan, 47; R Kaleingarada, 61; C Sasikumar, 45, dan T Ramakrishnan, 51, masing-masing warga tempatan bekerja sebagai pemandu teksi dan pemandu e-hailing didakwa atas pertuduhan membawa 19 migran warga Indonesia yang diseludup menggunakan kereta jenis Proton Exora dan Proton Saga.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 5 hingga 6.30 pagi di Ban Kunci Air Mati Sungai Lanchang, Selekoh dan Jalan Batu 20, Jalan Bagan Datuk pada tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Nagenderan diwakili Peguam R Pavithira dan M Karthika manakala Kaleingarada diwakili Peguam Mohd Radzlan Jalaludin.

Sasikumar pula diwakili Datuk PM Nagarajan dan Logannadan serta Ramakrishnan tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula semua kes manakala 6 Mac bagi permohonan ikat jamin untuk Sasikumar.