SHAH ALAM - Pembangkang mendesak kerajaan menyelesaikan segera isu beras putih tempatan (BPT) dicampur beras import sebagaimana didedahkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada Rabu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan juga perlu mengambil tindakan segera terhadap semua pihak terlibat dalam aktiviti pembungkusan beras campur kerana tindakan sedemikian menipu rakyat.
Kata Hamzah, rakan-rakan dalam blok pembangkang turut meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengambil tanggungjawab terhadap isu yang berlaku.
"Bila sudah terbukti, jadi kerajaan perlu bertindak untuk mengambil langkah seterusnya dan rakyat mengharapkan perkara ini diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.
Pada Rabu, MARDI mendedahkan 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan BPT.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak menjelaskan, campuran beras itu dipercayai berlaku di peringkat pengilang.
Katanya, MARDI menerima sampel beras daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya.
Sementara itu, Hamzah turut mengkritik bantuan 24 juta kampit BPT bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) yang akan mula dijual dalam pasaran di seluruh Semenanjung mulai 1 Mac ini.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, bantuan berkenaan tidak akan menyelesaikan isu BPT yang dicampurkan dengan beras import selain tidak membantu menyelesaikan keperluan rakyat sepenuhnya.
"Jika ini sahaja langkah yang diambil, masalah isu tersebut tidak akan selesai.
"Jangan biasakan BPT terus dicampur dalam beras import tanpa kawalan,” tegasnya.
Tambah Hamzah, sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan isu berkenaan, rakyat akan mengambil perkara ini sebagai satu lagi perjuangan untuk mencari pemimpin yang lebih baik.