SEBERANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengumumkan empat kadar zakat fitrah bagi tahun 2025 iaitu RM7, RM10, RM15 dan RM25.
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kadar zakat itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 3 dan 4 Februari lalu.
Menurutnya, mesyuarat tersebut bersetuju bahawa nilai makanan asasi penduduk Pulau Pinang ialah RM10 manakala nilai yang lain adalah merujuk kepada kadar makanan diri sendiri.
"RM7 bagi kumpulan yang makan beras jenis super special tempatan 5 peratus, beras hancur atau lain-lain jenis yang setara dengannya, RM10 bagi kumpulan yang makan beras jenis beras putih import atau lain-lain jenis yang setara dengannya.
"Sementara bagi RM15, ia bagi kumpulan yang makan beras rebus, 'Thai white rice', beras perang atau yang setara dengannya manakala RM25 untuk kumpulan makan beras jenis berkualiti tinggi seperti beras wangi, beras pulut, beras herba ponni, beras calrose, beras merah import dan beras basmathi atau yang setara dengannya," katanya.
Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap di Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya Ramadan Kerajaan Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Tambah beliau, berdasarkan laporan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi tahun ini, makanan asasi utama rakyat Pulau Pinang ialah beras putih import.
"Oleh demikian, kadar zakat fitrah yang wajib ditunaikan di negeri ini adalah RM10.
"Bagaimanapun, bagi mereka yang lebih berkemampuan, amat digalakkan untuk membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan, atau memilih kadar RM15 atau RM25 bagi menyantuni lebih ramai asnaf," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Zakat MAINPP telah melantik seramai 1,689 orang amil zakat fitrah di 238 pusat kutipan di seluruh Pulau Pinang.
"Saya percaya, dengan pengalaman yang ada, kita mampu menguruskan kutipan ini dengan lebih efisien dan seterusnya meningkatkan lagi jumlah pembayar zakat fitrah tahun ini.
"Prestasi kutipan zakat pada tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak RM13.16 juta berbanding tahun sebelumnya. Kutipan zakat fitrah sahaja meningkat kepada RM7.33 juta, berbanding RM6.83 juta pada 2023 iaitu lonjakan sebanyak 4.92 peratus.
"Saya percaya antara faktor peningkatan ini salah satunua adalah kesungguhan para amil fitrah yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab yang berdedikasi sehingga mencatatkan peningkatan dalam jumlah kutipan serta pembayar zakat fitrah pada tahun lalu," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM260,000 untuk masjid-masjid dan surau Jumaat dalam usaha pengimarahan bulan Ramadan.
"Bagi pengimarahan solat tarawih, Zakat MAINPP memperuntukkan sebanyak RM416,000 disalurkan kepada masjid melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
"Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi ia juga adalah tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha menjadikan masjid dan surau sebagai pusat kesatuan ummah," katanya.