IPOH - Kadar zakat fitrah di Perak bagi tahun 2025 meningkat melibatkan tiga pilihan bayaran iaitu RM10, RM16 dan RM27 bagi setiap individu.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang mengumumkan perkara tersebut berkata, bayaran RM10 merupakan pilihan utama untuk individu yang menggunakan beras madani, beras super spesial tempatan dan beras putih super import berbanding hanya RM8 sebelum ini.
Menurutnya, bagi pilihan kedua dengan bayaran RM16 pula dikhususkan untuk pengguna beras rebusan, beras perang dan beras wangi kekal seperti sebelumnya manakala bayaran RM27 untuk pengguna beras basmathi dan beras pulut meningkat berbanding RM24 seorang tahun lalu.
"Jawatankuasa Fatwa kali ke-236 pada 13 Disember 2024 telah mengangkat sembah perakuan kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi untuk mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
"Titah perkenan Sultan Perak telah dibentangkan dan diterima oleh Persidangan Majlis (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak) pada pagi ini," katanya ketika mengumumkan kadar baharu itu.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Tahun 1446/2025 dan Peluncuran Awal Aplikasi MAIPk Bestari di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan turut dihadiri Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Zamri berkata, bayaran zakat fitrah bagi Perak adalah berasaskan makanan ruji di negeri ini bersamaan kepada satu gantang Baghdad beras iaitu 2.6 kilogram (kg).
Katanya, sesuai dengan peredaran masa, bayaran zakat fitrah dibolehkan dengan menggunakan wang tunai yang sama nilainya satu gantang beras.
Sementara itu dalam sidang media, Zamri memaklumkan kadar harga zakat fitrah itu berdasarkan kajian dibuat oleh MAIPk merujuk data diperoleh daripada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Jadual Ketetapan Makanan Asas 2024, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.
"Dari situ, kita mendapat harga beras, dan MAIPk melalui mekanismenya mengkaji jenis beras yang paling banyak dimakan di Perak. Rupa-rupanya, ia adalah beras tempatan dan juga beras import.
"Jika ditukarkan kepada sukatan gantang Baghdad harganya lebih kurang RM10 lebih. Maka, harga itu dibundarkan kepada RM10 dan itu menjadi asas kadar zakat fitrah bagi negeri Perak.
"Adapun di negeri lain, mungkin kajian mereka tidak serupa, maka kadar yang ditetapkan juga berbeza.
"Jadi, harga asas fitrah kita adalah RM10. Namun, mereka yang memakan beras selain beras Madani digalakkan membayar zakat fitrah berdasarkan jenis beras yang dimakan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, bagi memudahkan pembayaran zakat fitrah, MAIPk memperkenalkan aplikasi MAIPk Bestari yang dibangunkan bertujuan menyusun semula sistem pembayaran zakat.
Katanya, melalui sistem itu, pembayaran secara dalam talian akan terus dikreditkan ke dalam akaun MAIPk, sekali gus mengurangkan risiko ketirisan.
Bagaimanapun jelasnya, kaedah pembayaran secara manual melalui Amil yang dilantik masih diteruskan malah Amil juga tetap perlu menggunakan aplikasi berkenaan bagi merekod pembayaran zakat secara sistematik.
Ujarnya, pembayaran melalui aplikasi tetap sah malah disertakan akad di dalamnya selain memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah yang tertinggal atau qada zakat fitrah.