PAPAR - Seramai 19,839 ketua isi rumah (KIR) yang sepatutnya layak menerima wang RM300 setiap bulan menerusi program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) dikenal pasti masih belum memiliki data akaun dalam sistem Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat ini seramai 72,039 KIR telah direkodkan dalam sistem Sekretariat SMJ tersebut.
"Ada sebahagiannya yang belum ada data akaun sama ada, tiada akaun langsung atau ada akaun tetapi butirannya tidak ada dalam sistem Sekretariat SMJ.
"Itu sebabnya kita di Papar ini memulakan inisiatif untuk membuat 'outreach' kerana kita mahu bantuan ini segera diterima bulan ini apatah lagi menjelang Ramadan, banyak keperluannya bagi RM900 untuk tiga bulan.
"Untuk program ini sebanyak RM358.5 juta disalurkan dan ia adalah satu jumlah yang besar di mana dengan inisiatif ini dapat membantu meringankan beban sara hidup rakyat khususnya golongan yang memerlukan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menanggani isu kemiskinan di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada selepas menyempurnakan Program Advokasi Sara Hidup dan Pembukaan Akuan Bank Penerima SYUKUR Parlimen Papar, di Dewan Datuk Salleh Sulong, di sini pada Khamis.
Sementara itu, diminta mengulas ada pihak yang mempersoalkan adakah wang RM300 yang diberikan kerajaan Sabah itu mampu menyelesaikan masalah rakyat, beliau berkata, mereka boleh mengatakan apa saja namun jumlah itu mungkin membantu meringankan bebanan hidup penerima ketika ini.
"Biasalah dalam politik pihak yang melawan ini akan cari isu untuk dijadikan modal politik. Jadi kalau mahu jawab politik, saya mahu tanya dan rakyat patut tanya semasa mereka memerintah apa yang diberi?
"Kalau kita bagi RM300 dikatanya tidak cukup, mahu tanya dia ada beri RM100 sebulan, ada dia bagi RM10 sebulan, tiada. Tetapi Alhamdulillah di bawah pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor kita mulakan langkah ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa bantuan itu tidak diberi secara sekali sahaja tetapi berterusan untuk setiap bulan dan diberi secara terus untuk tiga bulan sekali untuk fasa pertama.
"Tidak pernah kerajaan negeri ada program bantuan bulanan yang berterusan ini. Program ini telahpun dirintis dan kita harap dengan hasil yang bertambah pada tahun hadapan, ia akan diteruskan," katanya.
"Kena ingat bahawa ini bukan bantuan one-off malah ia tidak tertumpu untuk satu kawasan saja tetapi di seluruh Sabah secara tersusun di mana mereka yang layak akan dikreditkan ke dalam akaun.
"Selain itu, program ini memberi implikasi kewangan kepada negeri iaitu melibatkan RM358.5 juta dan ia bukan jumlah yang sikit," katanya.