SHAH ALAM - Masjid atau surau di seluruh Pahang tidak dilarang menggunakan khidmat imam warga asing untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan ini, namun perlu mematuhi syarat ditetapkan.
Bagaimanapun, imam tempatan perlu diutamakan kerana itu merupakan tugasan rasmi dan mereka mempunyai keupayaan yang baik.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi ialah mengemukakan permohonan secara bertulis melalui pejabat agama di daerah-daerah untuk mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
"Kita tidak melarang tapi tidak juga (mengambil pendirian terlalu terbuka). Setiap imam asing yang hendak mengimamkan solat tarawih (di Pahang) mesti dapat kebenaran secara bertulis untuk kita tengok dahulu (latar belakang imam).
"Kita hendak melarang pun tidak boleh juga, kemudian kita hendak membuka seluas-luasnya pun tidak boleh juga sebab kadang-kadang mereka bawa orang yang tidak tentu arah," katanya ketika ditemui di Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Terengganu tidak menggunakan khidmat imam luar negara di masjid dan surau bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadan ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ini kerana pihaknya menggalakkan pelantikan pelajar tahfiz al-Quran sebagai imam tarawih sekali gus memberi pendedahan kepada golongan tersebut mengetuai solat tarawih pada usia muda.
Sementara itu, ditanya sama ada Pahang menetapkan kemasukan imam daripada negara tertentu, Syed Ibrahim menjelaskan tiada tindakan seumpamanya diambil.
"Kita tidak tetapkan. Kadang-kadang ada datang dari negara Mesir, Indonesia dan lain-lain yang berkunjung. Kita tengoklah. Tapi mesti dapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Pahang," jelasnya.
Sebelum ini, Mufti Pahang,Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim memaklumkan, penetapan solat tarawih di masjid dan surau di seluruh negeri berkenaan ialah 20 rakaat dengan tiga rakaat witir dua salam, Ramadan ini.
Beliau berkata, ketetapan itu telah diperkenankan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.