SHAH ALAM - Gerakan siri kempen World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kini sudah memasuki tahun ke-10 hasil sinergi mantap beberapa agensi media terkemuka negara.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, sinergi media memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej al-Quran kepada masyarakat tidak kira dalam dan luar negara.
Menurutnya, pelbagai agensi media bergabung dalam menjayakan World #QuranHour termasuk Utusan Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah ketika perjumpaan awal gerakan tersebut pada tahun 2016.
"Sejak itu, World #QuranHour berkembang menjadi satu gerakan global yang memberi impak besar dalam memartabatkan budaya berinteraksi dengan al-Quran.
"Semangat kesatuan dalam kalangan media menjadi tulang belakang kepada penyebaran kempen ini kepada masyarakat umum.
"Tahun ini, dengan kekuatan sinergi media, World #QuranHour 2025/1446H diharap dapat diperluaskan ke pelbagai negara dan menarik lebih ramai penyertaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 2025 bertempat di Studio My #QuranTime Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF merangkap pentaddabur, Fazrul Ismail dan qari, Syukri Ali.
World #QuranHour kali ini bakal berlangsung di lokasi perdana iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 25 Mac depan bersamaan Ramadan ke-24 bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Organisasi media yang turut hadir bagi menjayakan penganjuran World #QuranHour bertemakan #SavingTheUmmah tersebut ialah ASTRO OASIS selaku penyiar utama, Sinar Harian, Sinar Daily dan Nu Ideaktiv.
Selain itu, Bernama, TV Alhijrah, TV3, RTM, TV9, Media Prima, Utusan TV, Utusan Malaysia, Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV IKIM, IKIM FM, ZAYAN dan Denaihati.com.
UIAM, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Karya Bestari, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MPAM), Akademi Sinergi Ikhlas, Rasuah Busters, Sahabah al-Quran, Rumah Ngaji, My#HadithTime dan Soul Fitness turut serta selaku rakan strategik.
Marhaini memaklumkan, siri kempen #QuranHour seperti World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention berjaya mencecah lebih 7.8 bilion capaian di media sosial serta diadakan di 313 lokasi merangkumi 76 negara.
Beliau turut menambah, #QuranHour mengambil inspirasi daripada program anjuran PPAS iaitu Let's Read Together for 10 Minutes pada 2014.
Jelasnya, ia menjadi titik tolak buat WUIF untuk menjayakan program sedemikian misalnya #MalaysiaNgaji pada 2015, namun dengan konsep berbeza iaitu menelaah al-Quran selama sejam.
"Pada 2016 pula, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM menjadi lokasi perdana World #QuranHour buat kali pertama untuk menarik lebih ramai penyertaan umat Islam di peringkat antarabangsa.
"Justeru, dengan sokongan institusi seperti PPAS, UIAM dan pelbagai agensi media, kempen ini terus berkembang sebagai satu fenomena global yang membawa perubahan dalam kehidupan," ujarnya.
Marhaini memberitahu, pihaknya juga mengambil inisiatif melaksanakan program ketika pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan masyarakat sewaktu itu terkurung di rumah.
"WUIF dengan kerjasama TV AlHijrah memperkenalkan My #QuranTime iaitu program sejam bersama al-Quran setiap hari. Kini, My #QuranTime memasuki musim kedua, bersiaran sebanyak 838 episod dan disiarkan di TV AlHijrah, ASTRO OASIS serta TV9.
"Program ini mencatat hampir 50 juta penonton, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Singapura dan Indonesia. Kesan daripada #QuranHour, pelbagai inisiatif lain dijalankan dalam pelbagai bidang berteraskan al-Quran, termasuk Islamic Fashion Festival #QuranHour, Women #QuranHour serta Wellness #QuranHour," jelas beliau.